Skip to main content

Bahaya Salah Guna Parkir Orang Kurang Upaya (OKU)

Penyalahgunaan parkir Orang Kurang Upaya (OKU) bukan sahaja perbuatan yang tidak beretika dan menyalahi undang-undang malah ia boleh membawa risiko kehilangan nyawa terutamanya kepada warga OKU. 

Terkini, rakaman video perlakuan menyalahguna parkir dengan berlakon sebagai OKU fizikal telah mendapat teguran daripada Senator Ras Adiba Radzi. Beliau menggesa dua individu terbabit untuk memohon maaf. Ia adalah wajar kerana tindakan tidak bermoral berkenaan bukan sahaja mengguris hati warga OKU malah menunjukkan sikap pentingkan diri yang bakal mengundang bahaya kepada orang lain.

Bahaya ekoran daripada penyalahgunaan parkir OKU adalah risiko kemalangan. Akibat daripada parkir OKU yang disalah guna, OKU terpaksa mencari parkir biasa. Terdapat dua ciri merangkap fungsi parkir OKU. Pertama ialah lokasi parkir dan kedua ialah saiz parkir. Lokasi parkir yang terletak berhampiran pintu utama premis dan saiz keluasan parkir yang menepati Piawai Malaysia MS 1184:2014 iaitu Reka bentuk Sejagat dan Kebolehcapaian dalam Persekitaran Binaan-kod amalan yang amat diperlukan oleh OKU. Mereka memerlukan jarak terdekat dan saiz parkir yang luas untuk memendekkan jarak pergerakan ke pintu utama serta untuk memudahkan pergerakan keluar daripada kenderaan. 

Jika OKU parkir di parkir biasa, mereka menghadapi kesukaran untuk keluar masuk daripada kenderaan dan seterusnya risiko dilanggar oleh kenderaan lain. OKU berkerusi roda atau bertongkat memerlukan ruang yang cukup untuk membuka pintu kenderaan dan bergerak ke pintu utama. Bahaya untuk tidak dilihat atau masalah titik buta pemandu kenderaan kerana ketinggian mereka yang berada di atas kerusi roda menyebabkan OKU mudah dilanggar oleh kenderaan terutamanya kenderaan besar.

Alasan yang digunakan seperti tiada OKU yang memarkir kenderaan, parkir biasa telah penuh dan menumpang parkir untuk sementara tidak boleh diterima kerana keperluan kepada parkir khas OKU adalah hak yang tidak boleh disalah guna. Berlakon sebagai OKU adalah tidak wajar kerana seolah-olah meremehkan penguatkuasaan dan usaha yang dijalankan oleh pelbagai pihak untuk memartabatkan serta melindungi hak OKU yang inklusif dan kondusif. Rangkuman kemudahan dan keselesaan yang munasabah terutamanya isu keselamatan adalah tanggungjawab bersama Keluarga Malaysia yang perlu diambil serius.

Apabila salah guna kemudahan OKU seperti parkir ini diremehkan oleh sesetengah pihak, ia memudaratkan warga OKU. Islam menggalakkan amalan mencegah mudarat dan bahaya sesama makhluk. Contohnya, antara adab yang terpuji ialah mengalihkan duri dan halangan di jalan. Ini kerana dengan sekecil perhatian mengalih duri dan halangan di laluan orang ramai dapat menyantuni pengguna laluan agar terhindar daripada bahaya serta musibah. Sewajarnya kita menghormati hak OKU dengan mengambil iktibar daripada amalan mulia ini. Peka dan prihatin kepada keperluan warga OKU menggambarkan keindahan dan keluhuran akal budi rakyat Malaysia yang terkenal beradab sopan dan menghayati adat ketimuran.

Kerap kali salah guna parkir ini berpunca daripada sikap kurang peka kepada OKU dan juga kerana tiada yang memerhati. Antara panduan dalam menyantuni OKU berpandukan dalil al-Quran ialah meletakkan takwa sebagai asas pengukuran kemuliaan seseorang, bukannya perbezaan warna kulit, kesempurnaan fizikal atau lain-lain yang bersifat duniawi. Firman Allah yang bermaksud “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya)” (al-Hujurat ayat 13).  

Islam turut menegah manusia menghina antara satu sama lain dengan sebab kekurangan atau kelebihan yang ada. Allah SWT mengingatkan dalam firman-Nya yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.” (al-Hujurat ayat 11)

Antara panduan lain ialah perintah Allah SWT agar manusia sentiasa tolong-menolong dalam perkara yang mendatangkan kebaikan sebagai mana firman Allah yang bermaksud, “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.” (al-Maidah: ayat 2)

Membantu golongan OKU merupakan salah satu bentuk kebaikan bukan sahaja kepada OKU, malahan kepada pihak yang menolong. Bagi OKU, pertolongan yang diberi dapat membantu mereka hidup lebih baik walaupun dengan kekurangan yang dimiliki. Bagi pihak yang menolong, mereka dijanjikan dengan kebaikan dunia dan akhirat sebagai mana firman Allah SWT yang bermaksud, “Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. (al-Isra’ ayat 7)

Kesimpulannya, dengan memahami kepentingan dan keistimewaan parkir OKU membantu kita lebih menyantuni dan menghormati sebahagian daripada ahli keluarga besar Malaysia ini. Ibarat kata pepatah, “Cubit peha kanan, peha kiri terasa”. Sebagai tanda cakna dan kasih sayang kita kepada warga OKU, kita perlu bersama-sama hentikan penyalahgunaan parkir yang nampak remeh tetapi mampu mengorbankan nyawa.

Dr. Munira Binti Abdul Razak
Dr. Munira binti Abdul Razak 

Pengarah, Unit Perkhidmatan Orang Kurang Upaya (OKU), dan Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang (UMP)

e-mel: munira@ump.edu.my

Dr. Tuan Sidek Bin Tuan Muda
Dr. Tuan Sidek bin Tuan Muda

Pensyarah Kanan, Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang (UMP)

e-mel: sidek@ump.edu.my

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News