Skip to main content

Eksperimen sosial perlu berpandukan kepada etika dan menghormati maruah individu

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan satu video usikan oleh seorang pempengaruh atau influencer terhadap ibu yang membawa anak orang kurang upaya (OKU). Setelah itu, beliau turut meminta maaf dan menyatakan itu hanyalah sebuah eksperimen sosial untuk melihat betapa rakyat Malaysia cakna dengan persekitaran dan individu. 

Budaya melakukan eksperimen sosial yang berlebihan memberi kesan kepada digniti, malah memberi kesan tekanan psikologi terhadap peserta kajian. Di samping itu juga, tindakan berlebih-lebihan kepada peserta kajian adalah merupakan satu kesalahan dalam melakukan eksperimen sosial. 

Eksperimen sosial perlu mengikut garis panduan penyelidikan yang dijalankan kerana melibatkan penglibatan subjek kajian iaitu manusia. Nilai dan digniti diri pada seseorang perlu di ambil perhatian bagi memastikan bahawa apa yang dilakukan menepati konsep hormat menghormati antara satu sama lain.

Eksperimen sosial yang dijalankan perlulah berbentuk satu eksperimen yang memberi faedah perlaksanaan. Sebagai contoh eksperimen sosial yang baik seperti budaya tidak mencuri, menghormati orang tua, sopan santun, tolak ansur dan sebagainya. Jika eksperimen sosial dilakukan dalam suatu bentuk yang negatif, pelaku eksperimen sosial perlu bertanggungjawab. 
Matlamat eksperimen sosial adalah sebagai salah satu bentuk pendidikan tidak langsung yang dapat dipelajari melalui pertuturan, tindakan dan perbuatan yang baik. Malah jika ada kandungan eksperimen sosial yang memalukan atau menjatuhkan imej atau maruah seseorang, ia seharusnya perlu dihentikan dengan serta-merta. Matlamat eksperimen sosial sebagai salah satu bentuk pendidikan kepada masyarakat perlulah digariskan supaya memenuhi etika hubungan dengan manusia.

Eksperimen sosial yang dilakukan perlu melalui proses tertentu iaitu proses mendapatkan kebenaran peserta kajian, mendapatkan kebenaran merakamkan video atau gambar peserta kajian, mendapatkan kebenaran untuk menyebarkan video atau gambar peserta kajian, kandungan eksperimen tersebut perlulah tidak menyakiti manusia dari sudut fizikal, emosi, mental dan psikologi, malah kandungan eksperimen sosial tersebut mengandungi mesej positif yang ingin disampaikan kepada masyarakat.

Garis panduan eksperimen sosial

1.    Proses mendapatkan kebenaran peserta kajian. 
Proses ini sangat penting kerana kita sebagai manusia perlulah menerima hak layanan yang adil dan dihormati. Oleh itu, melalui proses mendapatkan kebenaran peserta kajian. Peserta diberi pilihan dan diterangkan tentang risiko terlibat dengan kajian tersebut. Jika peserta kajian bersetuju, mereka perlu menandatangani satu surat persetujuan yang menyatakan persetujuan serta batas eksperimen tersebut.

2.    Proses mendapatkan kebenaran merakam.
Kebanyakan sosial eksperimen meletakkan kamera di tempat-tempat tersembunyi bagi merakam tindakan peserta kajian. Tindakan merakam tanpa pengetahuan ini adalah satu kesalahan dalam hak asasi manusia. Rakaman tanpa pengetahuan akan memberi kesan buruk kepada mangsa terutama apabila tanpa sedar video mereka tular. Oleh itu, dalam menjalankan eksperimen sosial, pembuat eksperimen sosial perlu menyatakan bahawa sesuatu eksperimen yang dijalankan dirakam dan rakaman hanyalah untuk tujuan tambah baik kepakaran, kualiti kerja mereka. Rakaman tanpa kebenaran adalah merupakan satu kesalahan.

3.    Setelah mendapat kebenaran dirakam, jika seseorang merasakan video rakaman tersebut mengandungi mesej-mesej yang ingin disampaikan kepada umum dan berasa video tersebut perlu disebarkan, maka individu tersebut perlu mendapatkan kebenaran bertulis penyebaran dan tanggungjawab penyebar terhadap kesan atau risiko negatif penyebaran. Penyebaran tanpa pengetahuan individu adalah merupakan satu kesalahan. 

4.    Kandungan eksperimen perlulah dipastikan mematuhi etika dan menghormati hak asasi manusia dan alam sekitar. Jika ada kandungan rakaman video yang menyumbang kepada pengaruh negatif terhadap individu, persekitaran, harta benda atau komuniti, ianya tidak perlu dijalankan.

Eksperimen sosial perlu diteliti perlaksanaannya. Jika eksperimen ini dilakukan dengan tujuan mendapatkan populariti dan menambah tanda suka, atau menambah pengikut dalam mana-mana media sosial, ia akan memberikan kesan buruk kepada pembangunan jati diri masyarakat. Banyak perkara yang perlu diambil kira sebelum melaksanakan eksperimen sosial bagi memastikan kesejahteraan komuniti wujud. Perlaksanaan eksperimen sosial yang dilakukan dengan betul dan mengikut etika serta menghormati maruah diri seseorang akan melahirkan rakyat yang lebih menghormati, bertoleransi serta saling menghormati antara satu sama lain.

Eksperimen sosial perlu berpandukan kepada etika dan menghormati maruah individu
 Dr. Norizan Yusof 

Penulis adalah pensyarah Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Universiti Malaysia Pahang (UMP). 
E-mel:  norizanyusof@ump.edu.my

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri