Skip to main content

Identiti pentadbir unggul fahami landasan UA Model 2

Artikel ini berpandukan kepada perkongsian Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) ke-4, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff yang bergandingan bersama Pendaftar UMP, Hazmin Aris dalam menjayakan program Siri Pentadbir Unggul (SPU) Siri 3. Mungkin ada yang pertama kali mendengar Universiti Awam (UA) Model 2 atau pada asas kertas kerja penubuhan disebut sebagai IPTA Model 2. UA Model 2 merupakan kerangka asas bagi penubuhan empat buah universiti teknikal yang dikenali sebagai Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia atau Malaysian Technical University Network (MTUN). UA Model 2 ini berbeza dan unik berbanding dengan model-model UA sedia ada. Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) ini akan berteraskan kepada pengajian teknikal dan kemahiran.

Sistem pendidikan negara telah mengalami perubahan yang besar terutama dalam tahun 1980-an. Pada tahun 1988/89, satu strategi diperkenalkan bagi merubah dan memberi hala tuju terhadap pendidikan negara. Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dirangka dan dilaksanakan bagi melengkapkan sistem pendidikan negara serta meningkatkan keupayaan untuk memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan negara. Walaupun Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 diperkenalkan, kaedah dalam KBSM masih dikekalkan. Pelajar di peringkat menengah atas boleh memilih kelompok mata pelajaran elektif yang terdiri daripada Kemanusiaan, Vokasional, Teknologi, Sains dan Pengajian Islam bagi tujuan peperiksaan umum Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Pelajaran Malaysia Vokasional (SPMV). Asas penubuhan UA Model 2 ini untuk membuka peluang yang lebih besar kepada pelajar jurusan vokasional dan teknikal meneruskan pengajian ke peringkat ijazah.

Keperluan Sumber Tenaga Manusia dalam Bidang Teknikal

Perkembangan ekonomi membuatkan negara memasuki era perindustrian secara besar-besaran. Teknologi memainkan peranan penting dalam pembangunan negara ke arah mencapai sebuah negara maju.  Penggunaan dan pembangunan teknologi mapan merupakan aspek yang penting dalam meningkatkan produktiviti serta kualiti bagi semua sektor ekonomi seperti pembuatan, pertanian, pembinaan dan perkhidmatan.  Ekoran daripada pembangunan negara yang pesat, keperluan modal insan dalam bidang teknikal yang terlatih juga semakin meningkat.
  
Sehubungan itu, negara ini memerlukan sumber tenaga manusia yang mempunyai kemahiran teknikal peringkat tertinggi dan keupayaan dalam bidang keusahawanan di samping kekuatan akademik. Perkembangan ekonomi ini mendesak untuk negara kita menyediakan sumber manusia berkemahiran tinggi bagi sektor-sektor pembuatan, fabrikasi dan pengujian, komponen peralatan serta elektronik berasaskan komputer. Negara juga memerlukan kemampuan sumber manusia yang berupaya mengubah suai pengetahuan teori bagi kegunaan elemen dalam keperluan industri dan pembuatan serta mempunyai kemahiran khusus. Suasana persaingan yang sengit dalam bidang Teknologi dan Kejuruteraan amat dirasai pada abad ini.

Syarikat-syarikat berlumba untuk membesarkan operasi mereka bagi meningkatkan pengeluaran produk baharu (product reengineering). Tinjauan umum penyediaan tenaga manusia di peringkat pendidikan tinggi dalam bidang Teknikal di negara-negara industri menunjukkan bahawa latihan bagi menyediakan tenaga kerja dalam industri terbahagi kepada dua laluan. Amerika Syarikat, Jerman, Jepun, Perancis dan Hong Kong mempunyai dua jenis graduan teknikal, iaitu jurutera berteraskan kemahiran dan jurutera berteraskan akademik. Jurutera berteraskan kemahiran mempunyai peluang kerjaya berasaskan kejuruteraan 'Shop Floor' operasi dan senggaraan (operation and maintenance) manakala jurutera berteraskan akademik berpeluang kerjaya berasaskan penyelidikan, reka bentuk dan pengurusan (research, design & management).

Jerman telah berjaya meningkatkan pembangunan industri melalui pendidikan teknikal. Jerman mempunyai dua sistem pendidikan utama untuk mengeluarkan jurutera iaitu sistem universiti konvensional dan sistem Fachhochschule. Sistem pendidikan Faochhochschule telah membawa 65 peratus pasaran pekerjaan dalam industri. Tenaga pengajar bagi sistem pendidikan ini datang dari mereka yang berpengalaman di dalam industri dan kelulusan  minimum mereka adalah PhD atau setaraf.

Kembali Ke Landasan Sebenar UMP

Profesor Ir. Dr Wan Azhar menegaskan supaya empat buah universiti MTUN perlu kembali ke landasan tujuan penubuhannya. Bagi UA Model 1 mungkin sudah jelas hala tujunya. Tanggungjawab untuk menyediakan tenaga mahir dalam bidang Teknologi perlu dipikul oleh semua. Strategi perlu dirancang dengan sebaiknya bagi meningkatkan kualiti. Industri pada hari ini memberi keutamaan kepada jurutera yang bersedia untuk bekerja secara kendiri dan berkeyakinan. Industri juga kurang memerlukan jurutera yang cenderung kepada teori asas tetapi lebih kepada aplikasi teori dan hands-on. 

Apa yang diperlukan oleh industri ialah Teknologis Kejuruteraan atau Engineering Technologist. Jurutera dan teknologis adalah berbeza tetapi berkait rapat antara satu sama lain (intimately related professions). Jurutera banyak melibatkan aktiviti penghasilan reka bentuk dan pembangunan teknologi baharu manakala teknologis mengaplikasikan reka bentuk dan teknologi yang dihasilkan oleh jurutera. Kerja-kerja teknologis juga memerlukan kemahiran praktikal (‘practice-oriented’). 

Hakikatnya, inovasi pengajaran dan pembelajaran (PdP) menerusi kolaborasi bersama industri berupaya menghasilkan tenaga kerja mahir dan usahawan yang berdaya saing, memiliki kelayakan dan kemahiran yang diiktiraf oleh industri, berwatak profesional dan diterima di pasaran kerja.

Mewakili Persatuan Pegawai Tadbir & Ikhtisas (PPTI) mengucapkan jutaan terima kasih kepada Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff atas sumbangan menyedarkan warga UMP untuk kembali ke landasan sebenar sebagai sebuah universiti teknikal berteraskan teknologi. 

Mohd Raizalhilmy Mohd Rais
Mohd Raizalhilmy Mohd Rais
Mohd Zaki Bin Ahmad
Mohd Zaki Ahmad 

Disediakan oleh: Mohd Raizalhilmy Mohd Rais, Presiden Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PPTI) dan Mohd Zaki Ahmad Senator Tugas-tugas Khas, Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PPTI)

Reports by:
Admin UMP News