Skip to main content

Isu Keselamatan: Bersediakah Kita?

Secara amnya, rakyat Malaysia terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum, agama dan keturunan. Kumpulan terbesar rakyat Malaysia adalah terdiri daripada tiga kaum utama iaitu Melayu, Cina dan India. Pada tahun 2016, statistik jumlah penduduk Malaysia dianggarkan seramai 31.7 juta orang iaitu merangkumi komposisi jantina lelaki seramai 16.4 juta dan 15.3 juta perempuan dengan nisbah 107 lelaki bagi setiap 100 orang perempuan. Nisbah ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.5 juta berbanding 31.2 juta orang pada 2015 dengan kadar pertumbuhan penduduk tahunan 1.5 peratus bagi tempoh yang sama (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2017). Namun begitu, saban tahun isu keselamatan terutamanya kes kemalangan di Malaysia turut menunjukkan jumlah yang agak ketara berlaku tanpa mengira kaum, agama dan keturunan. Jadual 1.0 menunjukkan taburan masyarakat Malaysia mengikut jenis industri yang diceburi oleh rakyat Malaysia.

Jadual 1.0: Taburan Masyarakat Malaysia Mengikut Jenis Industri

​    ​Jadual 1.0: Taburan Masyarakat Malaysia Mengikut Jenis IndustriJadual 1.0: Taburan Masyarakat Malaysia Mengikut Jenis Industri

Tidak dinafikan banyak isu keselamatan khususnya kemalangan di tempat kerja dan jalan raya kerap berlaku di Malaysia. Oleh itu, timbul persoalan yang menjadi tanda tanya dalam kalangan rakyat Malaysia iaitu adakah kita telah cukup bersedia menghadapi isu keselamatan ini dengan sepenuh hati? Pepatah Melayu ada menyebut ‘sudah terhantuk baharu tengadah’ yang cukup jelas menyatakan bahawa fitrah manusia kurang mengambil peduli mengenai isu-isu keselamatan sekiranya tidak pernah berlaku pada diri, keluarga atau orang terdekat. Sikap atau pemikiran ini yang menjadi penyebab utama banyak kes kemalangan masih berlaku saban tahun. 

Berdasarkan laman sesawang rasmi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), statistik jumlah kemalangan dari tahun 2013 hingga 2017 direkodkan seperti dalam gambar rajah 1.0. Taburan kemalangan dilaporkan telah meningkat dengan kadar drastik pada tahun 2017 iaitu peningkatan 3,362 kes menjadikan keseluruhan adalah 69,980 kes. 

Menurut Moatari-Kazerouni dan rakan-rakan (2015), kemalangan boleh diklasifikasikan kepada kematian (death), hilang upaya kekal (permanent injuries) dan hilang upaya sementara (major /minor injuries) atau kemalangan hampir (near miss) dalam kalangan manusia, alatan atau mesin, alam sekitar, dan sistem organisasi.

Gambar rajah 1.0: Jumlah Kemalangan Dilaporkan dari 2013 hingga 2017

Tidak dinafikan banyak isu keselamatan khususnya kemalangan di tempat kerja dan jalan raya kerap berlaku di Malaysia. Oleh itu, timbul persoalan yang menjadi tanda tanya dalam kalangan rakyat Malaysia iaitu adakah kita telah cukup bersedia menghadapi isu keselamatan ini dengan sepenuh hati? Pepatah Melayu ada menyebut ‘sudah terhantuk baharu tengadah’ yang cukup jelas menyatakan bahawa fitrah manusia kurang mengambil peduli mengenai isu-isu keselamatan sekiranya tidak pernah berlaku pada diri, keluarga atau orang terdekat. Sikap atau pemikiran ini yang menjadi penyebab utama banyak kes kemalangan masih berlaku saban tahun.   Berdasarkan laman sesawang rasmi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), statistik jumlah kemalangan dari tahun 2013 hingga 2017 direkodkan seperti dalam gambar rajah 1.0. Taburan kemalangan dilaporkan telah meningkat dengan kadar drastik pada tahun 2017 iaitu peningkatan 3,362 kes menjadikan keseluruhan adalah 69,980 kes.   Menurut Moatari-Kazerouni dan rakan-rakan (2015), kemalangan boleh diklasifikasikan kepada kematian (death), hilang upaya kekal (permanent injuries) dan hilang upaya sementara (major /minor injuries) atau kemalangan hampir (near miss) dalam kalangan manusia, alatan atau mesin, alam sekitar, dan sistem organisasi.  Gambar rajah 1.0: Jumlah Kemalangan Dilaporkan dari 2013 hingga 2017

Manakala jadual 2.0 di bawah menunjukkan statistik penerima faedah bagi pencarum PERKESO dari tahun 2012 hingga 2017. Statistik ini boleh memberi gambaran secara kasar bahawa jumlah kemalangan meningkat setiap tahun dan secara tidak langsung memberi impak atau kesan yang besar kepada keluarga mangsa yang terlibat. Hilang punca pendapatan? Cacat kekal? Kematian orang tersayang atau ketua keluarga? Ini adalah antara kesan-kesan yang sukar digambarkan oleh keluarga mangsa sekiranya berlaku sesuatu kemalangan. Tidak dinafikan banyak inisiatif dan bantuan yang telah disalurkan oleh pihak-pihak tertentu seperti majikan, kerajaan dan NGO bagi meringankan tanggungan keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan di tempat kerja. Namun begitu, isu-isu yang berkaitan dengan kemalangan ini masih belum mendapat perhatian sepenuhnya daripada masyarakat Malaysia amnya.

Jadual 2.0    Statistik Penerima Faedah PERKESO

Jadual 2.0	Statistik Penerima Faedah PERKESO

Mengapa hal ini berlaku? Berdasarkan beberapa kajian sebelum ini, terdapat empat faktor penyebab yang berpotensi menyebabkan kes kemalangan berlaku tanpa mengira umur, jantina, tempat atau masa iaitu ignorance (52 peratus), unawareness (20 peratus), carelessness (18 peratus), dan illiteracy (10 peratus). 

Kesemua faktor penyebab ini adalah berkaitan rapat dengan faktor kemanusiaan (human factors) dan keselamatan berdasarkan tingkah laku manusia (behaviour based safety). Menurut Teori Domino yang diperkenalkan oleh Heinrinch dan rakan-rakan (1980) menyatakan bahawa kemalangan berlaku berpunca daripada rantaian proses yang mengandungi elemen seperti tingkah laku tidak selamat (unsafe acts) atau keadaan tidak selamat (unsafe conditions). Sekiranya salah satu atau kedua-dua elemen ini dapat dicegah atau diputuskan daripada rantaian tersebut, kemalangan secara teknikalnya boleh dielakkan daripada berlaku. Ini kerana, penyebab utama (root cause) sesuatu kemalangan boleh dicegah atau dikawal selia daripada peringkat awal lagi. Untuk merealisasikan tugasan ini dengan jayanya bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan, pelbagai kerjasama dan komitmen daripada semua pihak yang terlibat terutamanya individu itu sendiri diperlukan secara berterusan.

Oleh itu, pengamalan Konsep 2E iaitu ilmu (education) dan penguatkuasaan (enforcement) adalah langkah yang boleh diketengahkan bagi mengelakkan berlakunya kemalangan yang tidak diingini pada masa hadapan. Melalui konsep ini, cara pemikiran dan tingkah laku dalam kalangan masyarakat mampu diubah selari dengan ilmu yang dipelajari. Penyampaian ilmu ini boleh dilaksanakan melalui pelbagai medium yang bersesuaian dengan pelbagai lapisan umur masyarakat Malaysia amnya. Program-program kesedaran yang bersesuaian boleh dirangka dan diperhebah secara fizikal atau digital bagi mengajar masyarakat tentang kepentingan budaya kerja selamat di tempat kerja atau di premis kediaman sendiri. Secara tidak langsung, ilmu yang diperoleh boleh meningkatkan tahap kesedaran masyarakat melalui kesedaran individu itu sendiri. Ini menyebabkan budaya kerja selamat dapat diterapkan untuk setiap lapisan masyarakat. Manakala, dari segi penguatkuasaan (enforcement) pihak berwajib seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan juga agensi-agensi lain boleh memainkan peranan penting dalam memantau salah laku dan memperkasakan prosedur keselamatan sedia ada yang diguna pakai di tempat kerja. Sekiranya, setiap individu dalam masyarakat Malaysia mampu menambah baik cara pemikiran dan tingkah laku sedia ada, isu keselamatan khususnya jumlah kes kemalangan boleh dikurangkan secara berperingkat.

Kesimpulannya, isu keselamatan khususnya kes kemalangan perlu diambil berat oleh masyarakat Malaysia. Ini kerana, kos akibat kemalangan adalah lebih tinggi berbanding kos pengawalan sebelum berlakunya sesuatu kemalangan. Oleh itu, amat penting untuk setiap individu dalam masyarakat memainkan peranan dengan sebaiknya. Anjakan paradigma dalam sifat dan sikap masyarakat yang dahulunya menjadi sesuatu yang lumrah iaitu sikap negatif perlulah diubah menjadi lebih positif dan proaktif. Dengan ini, lahirlah budaya kerja selamat berdasarkan kepada tanggungjawab dan aturan kendiri. Tepuk dada, tanyalah selera bagi setiap individu dalam masyarakat Malaysia amnya mengenai isu keselamatan ini.

Isu Keselamatan: Bersediakah Kita?

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang (UMP). 
Oleh: Dr. Mohd Najib Yacob
e-mel: mohdnajibyacob@ump.edu.my

Reports by:
Admin UMP News