Skip to main content

Kenapa kita perlu tunggu selepas lengkap vaksin COVID-19?

Kelonggaran kepada individu yang telah lengkap menerima vaksin COVID-19 yang diumumkan oleh pentadbiran kerajaan yang lalu kini diteruskan oleh Perdana Menteri Malaysia yang baharu iaitu Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Ismail Sabri. 

Semua individu yang telah lengkap menerima vaksin COVID-19 kini dibolehkan ke masjid atau rumah ibadat dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Malah, bagi pasangan jarak jauh boleh rentas negeri atau daerah untuk bertemu, ibu bapa boleh melakukan perjalanan rentas daerah atau negeri untuk melawat anak mereka yang berumur bawah 18 tahun dan individu yang baharu pulang dari luar negara boleh menjalani kuarantin wajib di rumah mereka turut dibenarkan oleh kerajaan. 

Negeri-negeri yang sudah memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan ke atas diberikan lebih kelonggaran seperti rentas daerah, makan di restoran, senaman di luar yang dibenarkan dari jam 6 pagi hingga 10 malam dengan jarak sosial, dan menjalankan aktiviti pelancongan.

Walau bagaimanapun, kelonggaran ini diberikan 14 hari selepas penerima vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac menerima dos kedua manakala penerima vaksin Johnson & Johnson dan CanSino hanya dibenarkan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti tersebut selepas 28 hari menerima suntikan vaksin. Ini membawa persoalan mengapa perlu kita menunggu 14 dan 28 hari selepas menerima suntikan vaksin?

Jawapan yang mudah ialah kerana imuniti terhadap COVID-19 mengambil masa dibina selepas suntikan vaksin diberikan. Vaksin dicipta untuk meniru jangkitan virus SARS-CoV-2 yang berlaku secara semula jadi. Dengan ini, vaksin akan melatih sistem imun tubuh untuk mengenal virus dengan cara memberikan virus yang sudah dilemahkan (vaksin Sinovac) atau sebahagian dari virus itu sendiri (vaksin yang lain). Latihan ini berupaya meransang sistem imun untuk mengendalikan jangkitan COVID-19 berlaku secara semula jadi di masa yang akan datang.

Sistem imun manusia terbahagi kepada dua iaitu innate immunity dan adaptive immunity. Apabila suntikan vaksin diberikan, innate immunity akan mula beroperasi. Sistem imun ni merupakan sistem pertahanan badan yang umum untuk mengatasi sebarang bendasing yang dikesan sebagai ancaman kepada tubuh manusia. Sistem imun ni akan bertindak dengan segera sementara ‘adaptive immunity’ akan mula beroperasi. ‘Adapative immunity’ yang terdiri dari sel-sel imun akan cuba mengenal pasti komponen vaksin samada virus yang telah dilemahkan atau bahagian-bahagian virus dalam pelbagai bentuk. Selepas proses pengenalan dilakukan, sel-sel imun akan diransang untuk melakukan tindak balas terhadap komponen vaksin. Sel B akan diransang untuk mengeluarkan antibodi terhadap komponen vaksin manakala sel T pula akan bertukar menjadi sel-sel pembunuh.  Antibodi yang dikeluarkan oleh sel B akan bertindak menghalang dari komponen virus memasuki sel-sel yang baharu manakala sel-sel pembunuh akan mematikan sel-sel lain yang sudah dimasuki virus yang telah dilemahkan menggunakan granul sitotoksik. 

Pada masa yang sama, sebahagian dari sel B dan sel T akan bertukar menjadi sel memori untuk membolehkan tindak balas imun yang lebih cepat jika tubuh dijangkiti oleh virus secara semulajadi pada masa yang akan datang. Walau bagaimanapun, tindak balas ‘adaptive immunity’ yang terdiri dari sel B and sel T mengambil masa beberapa hari sebelum terbentuk.

Kajian mendapati perlindungan yang terbaik terhadap COVID-19 hanya boleh didapati antara hari ke-7 hingga 14 selepas menerima suntikan kedua untuk vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac manakala vaksin Johnson & Johnson dan CanSino akan memberikan perlindungan penuh antara hari ke-15 hingga 28. 

Oleh yang demikian, kerajaan memberikan kelonggaran tertentu kepada mereka yang sudah menerima vaksin COVID-19 dan lengkap jangka masa menunggu untuk mencapai perlindungan terbaik terhadap COVID-19.  Tambahan pula, harus diingatkan bahawa semua vaksin COVID-19 dicipta supaya ia berupaya mengelak jangkitan yang teruk, kemasukan ke hospital dan kematian.  

Kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan ini harus digunakan sebaik mungkin oleh mereka yang sudah lengkap menerima vaksin COVID-19. Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk menarik semula kemudahan yang telah diberikan sekiranya berlakunya ketidakpatuhan terhadap garis panduan dan SOP yang telah ditetapkan. Inisiatif ini diharapkan akan mengalakkan lebih ramai lagi rakyat Malaysia yang belum mendaftar supaya bersegera untuk mendaftar untuk menerima vaksin COVID-19.

Justeru, semua rakyat Malaysia perlu terus patuh kepada garis panduan dan SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Kita mesti terus mengamalkan 3W iaitu penjarakan fizikal, kerap membasuh tangan dengan air dan sabun atau pensanitsi tangan dan memakai topeng muka. Dalam masa yang sama, elakkan 3C iaitu tempat sesak, tempat tertutup dan bersembang secara dekat. 

Kesimpulannya, kita masih belum menang dan bersama-sama kita akan atasi pandemik COVID-19. 

Ahmad Mahfuz Gazali
Dr. Ahmad Mahfuz Gazali

Penulis ialah pensyarah kanan, Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang (UMP).
e-mel: mahfuz@ump.edu.my

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News