Skip to main content

Mesej vaksin mesti diuar-uarkan setiap masa

Saya terpanggil untuk memberikan respons kepada rencana yang bertajuk ‘Startling Rice in Measles Cases’ yang diterbitkan dalam akhbar ‘The Star’ pada 4 Mac 2023. Sepatah ayat daripada artikel tersebut membuatkan saya risau, iaitu ‘Although measles vaccination reached 95 per cent each year, five percent (about 20,000 to 25,000) of the eligible children remained unvaccinated every year. Over the years, this number snowballs, and they remain susceptible to measles’.

Vaksin campak bukanlah vaksin baharu di Malaysia. Vaksin tersebut telah dipilih sebagai sebahagian daripada Program Imunisasi Kebangsaan (PIK) sejak tahun 1950-an lagi. Walaupun vaksin campak adalah antara vaksin yang paling awal diperkenalkan di Malaysia, apa yang membimbangkan ialah bilangan kanak-kanak yang menerima vaksin campak semakin berkurangan di Malaysia sepertimana yang dilaporkan oleh media apabila 206 kes campak dicatatkan di seluruh negara pada 2022 berbanding dengan 128 kes campak pada tahun 2021.

Artikel tersebut menyatakan, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika pandemik COVID-19 memberi impak besar kerana jumlah ibu bapa yang membawa anak-anak mereka untuk menerima vaksin di bawah PIK lebih sedikit berbanding sebelum ini. Selain kesan PKP, peningkatan kanak-kanak yang tidak divaksin juga disebabkan oleh faktor vaccine hesitancy yang disenaraikan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai salah satu dari ancaman antarabangsa peringkat global pada tahun 2019. 

Vaccine hesitancy bermaksud penangguhan atau keengganan untuk mengambil vaksin walaupun vaksin tersebut boleh diakses dengan mudah. Kita dapat melihat trend yang sama dengan vaksin COVID-19, terutamanya dengan dos penggalak kedua COVID-19. Hanya 2.5 atau 50 peratus penduduk Malaysia mengambil dos penggalak kedua dan pertama. Ini jauh berbeza daripada 84.4 peratus penduduk Malaysia yang telah lengkap dua dos vaksin COVID-19. 

Tidak dinafikan bahawa mandat vaksin merupakan faktor utama peratusan yang tinggi dalam kalangan penduduk di Malaysia melengkapkan dua dos vaksin COVID-19. Apa yang jelas ialah komunikasi berkenaan vaksin COVID-19 adalah sangat jelas dan mudah difahami. Mantan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Khairy Jamaluddin dan Mantan Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah secara konsisten mempromosikan dan mengingatkan masyarakat akan kepentingan vaksin COVID-19. Walau bagaimanapun, kita tidak lihat usaha yang sama dilakukan untuk dos penggalak COVID-19. Menurut laporan daripada Ketua Audit Negara, lebih 1.1 dos vaksin COVID-19 terpaksa dibuang kerana sudah melepasi tarikh luput.

Komunikasi berkenaan vaksin mesti jelas, mudah difahami dan menjawab soalan asas iaitu apa, siapa, bila, di mana, bagaimana, dan kenapa. Sebagai contoh, vaksin COVID-19 berfungsi untuk mencegah penyakit yang teruk dan kemasukan ke hospital, bukan untuk mengelak jangkitan dan transmisi. Mesej yang jelas dan mudah difahami ini mesti diaplikasikan untuk semua vaksin, bukan sahaja vaksin yang ditawarkan dalam PIK.

Sebagai contoh, fungsi dan kegunaan vaksin influenza, meningitis dan virus human papilloma mesti dipromosikan dan diberikan mesej yang jelas. Sejarah telah membuktikan bahawa vaksin dapat melindungi manusia daripada pelbagai penyakit berjangkit yang berbahaya seperti campak atau yang boleh membawa maut seperti meningitis. Oleh yang demikian, komunikasi vaksin mestilah jelas dan mudah difahami oleh masyarakat. 

Dr. Ahmad Mahfuz Bin Gazali
Dr. Ahmad Mahfuz Bin Gazali

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang (UMP).

 

Reports by:
Admin UMP News