Skip to main content

Serlahkan semangat patriotik dengan mengambil vaksin Covid-19

Sehingga tarikh 18 Oktober 2021, hampir 70 peratus peratus rakyat Malaysia sudah lengkap menerima vaksin Covid-19. Sikap rakyat Malaysia yang berlumba-lumba untuk mengambil vaksin Covid-19 wajar dipuji. Sehubungan itu, kerajaan pimpinan Yang Amat Berhormat Dato Sri’ Ismail Sabri telah mengambil langkah mengumumkan kebenaran rentas negeri pada 11 Oktober 2021 apabila lebih 90 peratus penduduk dewasa di Malaysia telah pun divaksin.  

Walau bagaimanapun, kebenaran ini hanya terpakai kepada mereka yang sudah lengkap menerima vaksin, 14 hari selepas dua dos vaksin Covid-19 Pfizer, Astra Zeneca dan Sinovac atau 28 hari selepas satu dos vaksin Covid-19 dari Johnson & Johnson dan CanSino. Kebenaran rentas negeri ini merupakan kelonggaran terbaharu yang diberikan oleh kerajaan selepas penerima lengkap vaksin Covid-19 dibenarkan untuk dine-in di restoran, menjalankan aktiviti sukan secara terbuka dan tertutup, menonton di dalam panggung wayang, masuk ke premis perniagaan, dan menjalankan aktiviti pelancongan. Semua ini dilaksanakan dengan tujuan untuk menggalakkan rakyat Malaysia untuk mengambil vaksin Covid-19 dan merangsang semula kegiatan ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Adakah kerajaan melakukan semua ini untuk mendiskriminasikan mereka yang tidak mahu menerima vaksin Covid-19? Jawapannya tentu sekali tidak. Ini kerana data-data yang kita peroleh setakat ini menunjukkan mereka yang tidak divaksin sangat berisiko untuk terdedah kepada Covid-19. Kajian Pusat Kawalan Penyakit (CDC), Amerika Syarikat menunjukkan golongan yang tidak divaksin mempunyai 11 kali ganda risiko kematian akibat Covid-19 berbanding seseorang yang telah lengkap menerima vaksin. Data dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 28 September hingga 11 Oktober 2021 menunjukkan bahawa vaksin Covid-19 berkesan hampir 90 peratus untuk mencegah jangkitan Covid-19. Tambahan pula, vaksin Covid-19 mampu mengurangkan risiko jangkitan bergejala Covid-19 sebanyak 86 peratus, mengurangkan kemasukan ke Unit Rawatan Rapi sebanyak 83 peratus dan mengurangkan risiko kematian sebanyak 88 peratus berbanding mereka yang tidak divaksin. 

Walaupun individu yang telah lengkap menerima vaksin Covid-19 masih mempunyai risiko yang kecil untuk dijangkiti, data dari KKM menunjukkan kebanyakan penerima yang mengalami jangkitan selepas lengkap menerima vaksin Covid-19 adalah terdiri daripada golongan emas yang berusia 60 tahun ke atas. Mereka masih mendapat breakthrough infection kerana menghidap penyakit kronik yang lain seperti kencing manis, darah tinggi dan mempunyai sistem imun yang lemah kerana menerima rawatan tertentu untuk penyakit-penyakit lain.   

Selain dari melindungi diri, penerima vaksin Covid-19 juga mampu melindungi orang lain di sekeliling mereka. Data CDC menunjukkan mereka yang divaksin mempunyai jumlah virus yang lebih rendah dan virus ini dapat dikeluarkan daripada tubuh dalam jangka masa yang singkat berbanding dengan mereka yang tidak menerima vaksin Covid-19. Ini sangat penting kerana mereka yang divaksin lebih sukar untuk menyebarkan virus kepada ahli keluarga, terutamanya kanak-kanak yang berusia 11 tahun dan ke bawah berbanding mereka yang tidak boleh divaksin. Ini selaras dengan tema Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, ‘Lindung diri, lindung semua’.

Sebagai seorang rakyat Malaysia yang patriotik, ini merupakan peluang untuk kita berbakti kepada negara. Kita perlu bersyukur bahawasanya negara kita mampu membeli vaksin Covid-19 dan menjalankan program vaksinasi Covid-19 dengan berkesan berbanding negara-negara dunia ketiga yang lain. Tambahan pula, vaksin-vaksin Covid-19 diberikan secara percuma kepada semua penduduk Malaysia tidak kira seseorang itu warganegara atau bukan warganegara Malaysia. Hargailah pengorbanan barisan hadapan iaitu petugas kesihatan, polis, dan sebagainya yang telah bertungkus lumus membantu negara kita mengawal pandemik Covid-19 sejak awal tahun 2020. 

Akhir sekali, jangan tanya apa yang negara sudah sumbang kepada kita tetapi apa yang kita sumbang kepada negara. Setiap dari kita perlu memainkan peranan masing-masing sebagai rakyat yang Malaysia yang patriotik. 

Dr. Ahmad Mahfuz Gazali
Dr. Ahmad Mahfuz Gazali

Penulis ialah pensyarah kanan Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Universiti Malaysia Pahang (UMP). 
e-mel: mahfuz@ump.edu.my

 

Reports by:
Admin UMP News