Skip to main content

2 buku terbitan bersama UMP dan Abad Sinergi terima ABN 2022

AYER KEROH, 22 Februari 2022 – Dua buah buku terbitan bersama antara Penerbit Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan Abad Sinergi Sdn. Bhd.  telah menerima dua anugerah berprestij dalam Majlis Anugerah Buku Negara 2022 (ABN 2022) melalui karya tulisan Datuk Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi bin Hashim@Wan Husain dari Fakulti Pengurusan Industri (FPI).

Majlis yang berlangsung di Panggung Seri, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Melaka itu merupakan pengiktirafan daripada Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), Majlis Profesor Negara (MPN) dan Lembaga Bahasa Melayu Melaka.

Dalam majlis tersebut, karya tulisan Dr. Wan Ahmad Fauzi berjudul ‘Mahaguru Rahman Sendo’ telah menerima ABN 2022 bagi kategori Anugerah Penulisan Buku Biografi dan Autobiografi, manakala sebuah lagi buku beliau yang bertajuk ‘Silat Seni Gayong Falsafah dan Perjuangan’ pula menerima Anugerah Buku Sosiobudaya dan Warisan.

Majlis yang dianjurkan oleh Biro Sosiobudaya dan Warisan, Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI), turut mengiktiraf 27 orang penerima anugerah yang lain menerusi empat kategori anugerah iaitu Anugerah Penulisan Buku Biografi dan Autobiografi, Penulisan Buku Sejarah, Sosiobudaya dan Warisan, Penulisan Buku Contoh Negara; dan Tokoh Penggerak Penerbitan Buku.

Dalam Majlis yang sama, Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Ali Mohd Rustam telah menjadi penerima utama ABN 2022 bagi Kategori Tokoh Kepimpinan Penerbitan Buku Negara. 

Beliau menerima Gubahan Tanjak sebagai persembahan utama, trofi dan sijil.

Menurut Pengarah Penerbit UMP, Muhammad Azli Shukri, kejayaan ini sudah pasti hasil usaha daripada pelbagai pihak dan jabatan. 

“Strategi kerjasama penerbitan bersama industri adalah langkah tepat dalam suasana ekonomi yang tidak menentu. 

“Selain membina hubungan baik dengan pemain industri, kerjasama seperti ini juga mampu memberi ruang kepada Penerbit UMP untuk meneroka pelbagai geran luar yang mempunyai potensi untuk meningkatkan hasil penerbitan dan penyelidikan universiti.

“Yang lebih menarik, kedua-dua buah buku tersebut merupakan hasil daripada geran perundingan dan penyelidikan industri yang diterima oleh penulis dan diterbitkan secara bersama antara Abad Sinergi Sdn. Bhd. dengan Penerbit UMP,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, hal ini sekali gus menyumbang kepada pencapaian dan peningkatan data penerbitan universiti.

Untuk rekod, ABN mula dianjurkan pada tahun 2010 dan sejak itu, Penerbit UMP telah menerima enam ABN dalam pelbagai kategori dan agresif dalam menyertainya setiap tahun.

Disediakan oleh: Shalfarina Shahriman, Penerbit UMP

 

Reports by:
Admin UMP News