Skip to main content

200 warga UMP sertai Majlis Khatam al-Quran dan World #QuranHour

KUANTAN, 13 April 2023 - Seramai 150 warga Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam kalangan staf dan pelajar  menyertai Majlis  Khatam al-Quran dan World #QuranHour dalam program yang berlangsung di Masjid UMP Kampus Gambang. 

Program yang bermula jam 8.30 pagi itu didahului dengan Majlis Khatam al-Quran yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Islam UMP, Ustaz Md Abdu Sahak yang juga merupakan Pengerusi Sekretariat Rumah Ngaji Pahang. 
 
Majlis diteruskan dengan taddabbur surah al -Insan yang disampaikan oleh Pegawai Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam, Ustaz Mohd Faizan Tajuid.
 
Manakala majlis dirasmikan oleh Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik(ITKAS), Profesor Madya Dr. Hasan Ahmad.
 
Dalam ucapannya, beliau menyeru agar warga UMP memperhebatkan amal ibadah pada 10 malam terakhir  yang berbaki beberapa hari sahaja lagi. 

200 warga UMP sertai Majlis Khatam al-Quran dan World #QuranHour

“Kita telah memasuki fasa terakhir Ramadan atau lebih dikenali sebagai 10 malam terakhir, justeru ambil peluang dengan  bersungguh-sungguh mengejar ganjaran hebat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada umat Nabi Muhammad SAW.

“Keajaiban bulan Ramadan yang tiada pada bulan-bulan yang lain. 

“Bulan yang barakah ini bukan menahan  diri  daripada lapar, menjaga pandangan, telinga dan pancaindera yang lain malah mendidik jiwa supaya bertakwa kepada Allah SWT,” katanya. 

200 warga UMP sertai Majlis Khatam al-Quran dan World #QuranHour

Selain itu, sepanjang bulan Ramadan ini juga Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) UMP telah menganjurkan pelbagai program sepanjang Festival Indahnya Ramadan termasuklah   program Jom Lepak@Masjid Special Edition yang dianjurkan bagi memeriahkan malam-malam 10 terakhir dengan ibadah qiamullail dan solat tahajud.

Hadir sama Pengarah PIMPIN, Profesor Madya Dr. Rashidi Abbas, Dekan Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Dr. Mohamad Hilmi Mat Said dan Dekan Pusat Sains Matematik (PSM), Profesor Dr. Mohd ZukiSalleh.
 
World #QuranHour 1444H berinteraksi dengan Surah al-Insan yang menyasarkan misi Masuk SyurgaSekeluarga dan melahirkan insan al-Abrar. 

Program World Quran Hour 2023 yang disambut saban tahun ini merupakan usaha dalam menggalakkan masyarakat berinteraksi dengan al-Quran agar sentiasa membaca, memahami dan mengamalkannya.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris