Skip to main content

2,517 pelajar UMP pulang ke kampung sambut Aidilfitri

KUANTAN, 7 Mei 2021 - Seramai 2,517 pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) akan pulang ke kampung halaman masing-masing secara berperingkat untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Sebanyak 18 buah bas disediakan oleh UMP bagi melancarkan penghantaran pulang para pelajar mengikut jadual yang ditetapkan.

Pada hari pertama sahaja menyaksikan lebih 900 orang pelajar telah pulang menaiki kenderaan sendiri, menaiki kenderaan UMP, menaiki kapal terbang dan pulang diambil oleh ibu bapa.

UMP turut menyediakan Sahur Meal yang ditaja oleh Yayasan UMP untuk semua pelajar yang menaiki kenderaan universiti bagi juadah bersahur di dalam kenderaan.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin yang mengetuai Task Force Pengurusan Pelajar (Norma Baharu) berkata, pihak pengurusan UMP telah bersetuju menetapkan mekanisme kawalan iaitu pergerakan pelajar dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan pergerakan pelajar terkawal.

“Pelajar turut diberi pilihan sama ada pulang ke kediaman masing-masing atau kekal berada di kampus sempena cuti perayaan tersebut.

“Tarikh yang ditetapkan bagi pergerakan pulang ke rumah masing-masing berdasarkan tiga kaedah pergerakan pulang pelajar iaitu menggunakan kenderaan sendiri, dijemput oleh ibu bapa atau penjaga, atau menggunakan kenderaan yang diselaraskan oleh UMP.

“Bagi pelajar yang pulang menggunakan kenderaan sendiri, mereka dibenarkan memandu kenderaan sendiri dengan surat kebenaran yang dikeluarkan oleh UMP bermula 7 hingga 12 Mei depan dan dijangka kembali ke kampus semula pada 15 hingga 20 Mei.

“Pelajar tidak dibenarkan menggunakan kenderaan awam kecuali perkhidmatan penerbangan,” katanya.

Selain itu, bagi pergerakan ibu bapa/penjaga pelajar yang melibatkan keperluan merentas daerah atau negeri perlu membawa bersama surat pelepasan perjalanan rentas daerah/negeri atau pulang semula ke kampus yang dikeluarkan oleh UMP.

Mereka boleh memulakan perjalanan bermula 7 hingga 12 Mei depan dan kembali ke kampus semula pada 15 hingga 20 Mei 2021.

Manakala mereka yang menggunakan kenderaan yang diselaras UMP, pengangkutan akan disediakan namun jumlahnya agak terhad.

Masa perjalanan dan pusat hentian bas bagi setiap negeri adalah berdasarkan ketetapan pihak UMP.

Pergerakan bermula pada 7 hingga 11 Mei dan kembali semula ke kampus pada 16 hingga 20 Mei 2021.

Profesor Dato’ Dr. Yuserrie mengingatkan hanya pelajar sedia ada, pelajar yang sedang menjalani latihan industri dan pelajar yang telah dikenal pasti oleh pihak UMP di bawah kategori pelajar berkeperluan enam kategori sahaja yang dibenarkan kembali ke kampus sempena cuti Aidilfitri ini.

Ujarnya, pelajar yang pulang ke kampung sepatutnya mengambil peluang sebaiknya untuk bersama keluarga dan sentiasa mematuhi SOP semasa berada di kampung bagi membendung penularan Covid-19 yang masih menular di negara kita.

“Seramai 1,200 pelajar tidak pulang ke kampung sempena hari raya ini dan UMP merancang untuk menyediakan Pek Syawal bagi pelajar yang tinggal di kampus dengan tajaan Yayasan UMP.

Para pelajar yang memerlukan keterangan lanjut boleh menghubungi Bilik Gerakan UMP di talian 09-549 3333 (UMP Gambang) dan 09-424 6999 (UMP Pekan) untuk mendapatkan sebarang khidmat nasihat dan prosedur yang berkaitan.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit