Skip to main content

300 staf dan kepimpinan Kumpulan UMP Holdings tunai lafaz ikrar bebas rasuah

PAYA BESAR, 29 November 2022 - Seramai 300 orang staf dan kepimpinan Kumpulan UMP Holdings menyempurnakan lafaz ikrar dan berjanji untuk lebih bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas dan menjauhkan diri daripada sebarang perlakuan rasuah serta membanteras sikap tidak bermoral sekali gus menjamin integriti dalam organisasi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMP Holdings (UMPH), Tuan Syed Alwi Mohamed Sultan, Ikrar Bebas Rasuah (IBR) merupakan satu inisiatif yang telah dibuat oleh  Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang bertujuan memberi pendekatan dan meningkatkan iltizam untuk menjauhi penyalahgunaan kuasa khususnya rasuah.

Ujarnya, IBR ini memberikan penekanan kepada ikrar dan janji yang dibuat oleh para kepimpinan organisasi dan warga secara sukarela agar sentiasa komited dan bertanggungjawab di dalam melaksanakan tugas seharian.

300 staf dan kepimpinan Kumpulan UMP Holdings tunai lafaz ikrar bebas rasuah

“Penganjuran Majlis Ikrar Bebas Rasuah pada hari ini sangat signifikan dalam memberikan pendedahan betapa pentingnya isu rasuah ini diketahui dan juga disedari.

“Dalam konteks ini, UMPH bersama pihak SPRM berpadu sinergi untuk memastikan warga UMPH peka terhadap isu ini. 

“Malahan memartabatkan integriti dan memerangi rasuah adalah satu inisiatif yang serius,” katanya yang mengetuai bacaan ikrar dalam Majlis Bebas Ikrar Rasuah Kumpulan UMP Holdings yang berlangsung di UMP Paya Besar.

300 staf dan kepimpinan Kumpulan UMP Holdings tunai lafaz ikrar bebas rasuah

Beliau juga berharap agar barisan pengurusan UMPH harus lebih telus, bertanggungjawab dan berintegriti dalam melaksanakan tugas serta menjauhkan diri daripada sebarang aktiviti rasuah sepanjang perkhidmatan.

Selain itu katanya, setiap warga perlu akur kepada surat Aku Janji yang ditandatangani untuk mematuhi Akta Badan-badan Berkanun, Tatatertib dan Akta 605 sepanjang perkhidmatan dengan UMPH. 

“Usaha ini akan memastikan organisasi ini bebas daripada sebarang gejala rasuah dan juga salah guna kuasa,” ujarnya.

300 staf dan kepimpinan Kumpulan UMP Holdings tunai lafaz ikrar bebas rasuah

Dalam majlis yang sama, Tuan Syed Alwi turut menerima  Sijil ISO 37001:2016 (Sistem Pengurusan Anti Rasuah) yang disampaikan oleh wakil perunding sijil ISO, Fatimah Ali  daripada Platinum Shauffmantz Veritas International.

Majlis turut dihadiri Timbalan Pengarah Outreach, Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Tuan Ab Muneim Ibrahim, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, SPRM Negeri Pahang, KPKPj Hairuzam Mohmad Amin@Hamim dan Ketua Pustakawan UMP, Azman Abdul Rahim.

Turut berlangsung sesi ceramah bertajuk ‘Sejauh Mana Kita Kenali Jenayah Rasuah’ yang disampaikan oleh Ketua Cawangan Agensi Berkaitan Kerajaan dan Swasta, Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Tuan Awang Samsul Baharam Bungso.

Disediakan oleh Mimi Rabita Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit