Skip to main content

41 staf UMP terima zakat

Pekan, 24 September 2020 – Prihatin dengan kebajikan stafnya, Yayasan Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah bertindak  proaktif dengan menyalurkan bantuan zakat kepada 41 staf yang layak menerima zakat.

Majlis Penyerahan Zakat telah disampaikan oleh  Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff dalam Majlis Bicara Cendekiawan Mulia UMP kali ke-11 bertempat di Dewan Bankuet UMP Pekan.  

Hadir sama Pengerusi Yayasan UMP, Dato’ Sri Md Sharif Shamsuddin dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Dr. Yuserrie Zainuddin yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Yayasan UMP.

Menurut Dato’ Sri Md Sharif Shamsuddin, Yayasan UMP sentiasa cakna untuk membantu sama ada pelajar, staf dan golongan yang memerlukan selaras dengan objektif Yayasan UMP.

“Pihak kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Pusat Zakat Majlis Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang telah menyumbang semula sebahagian dari zakat yang dibayar oleh staf UMP kepada pusat Zakat MUIP.  

“Hasil sumbangan tersebut, Yayasan UMP mengagihkan wang tersebut kepada pelajar, staf dan masyarakat yang memerlukan. 

“Pada tahun ini sahaja sebanyak tiga program yang telah dijalankan iaitu sumbangan kepada anak-anak kelainan upaya (OKU) sempena Hari Kemerdekaan dan juga sumbangan sempena Sambutan Hari Raya,” katanya.  

Ujarnya, Yayasan UMP yang dahulunya dikenali sebagai MyGift UMP mula diwujudkan pada tahun 2015 berusaha untuk mengumpulkan sumbangan daripada perlbagai pihak untuk digunakan sebagai tajaan pelajaran, memperkasakan program-program Islamik serta menyalurkan bantuan kepada yang memerlukan.

“Dengan adanya Yayasan UMP kini dapat memberi impak yang positif demi masa depan UMP dalam memberi kemudahan prasarana kepada pelajar dan pembangunan masyarakat. 

“Kami berharap mana-mana syarikat dan individu yang berkemampuan dapat turut bersama-sama dalam membantu golongan yang kurang berkemampuan ini,” katanya. 

Salah seorang penerima, Zulkiflee Haji Zainal  mengucapkan terima kasih kepada Yayasan UMP yang prihatin terhadap staf. 

Bapa kepada lima anak ini menganggap sumbangan ini sebagai rezeki anak-anak yang dapat digunakan untuk kegunaan untuk anak-anaknya.
 
Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Perhubungan Awam dan Media, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris