Skip to main content

63 staf sertai Kembara Lestari Merdeka terokai keindahan alam

Pekan, 21 Ogos 2020 – Seramai 63 staf Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjalan sejauh tiga kilometer sambil mengibarkan jalur gemilang sebagai menzahirkan rasa kecintaan kepada negara dalam menjayakan program Kembara Lestari Merdeka anjuran Jabatan Pendaftar baru-baru ini. 

Program bermula dari Perkarangan Canseleri Tun Abdul Razak di UMP Pekan dan para peserta bergerak menyelusuri Rimba Lestari, Nadir dan berakhir di Dusun UMP.

Program dirasmikan oleh Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff.

Hadir sama Pro-Pendaftar UMP merangkap Pengarah Program sambutan Bulan Kemerdekaan UMP, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin, Ketua Pustakawan, Azman Abdul Rahim, Dekan Kanan Kolej Pengurusan dan Kemanusiaan, Profesor Madya Dr. Hasan Ahmad, Dekan Pusat Sains Kemanusiaan, Dr. Mohamad Hilmi Mat Said  dan Pengarah Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta, Dr. Mohamad Idris Ali.

Profesor Ir. Dr. Wan Azhar turut menghargai komitmen para peserta dalam menjayakan program ini di samping ia dapat menerokai keindahan kehijauan kampus malahan dapat menjadikannya sebagai salah satu aktiviti beriadah dan amalan gaya hidup sihat.
Tepat pada jam 9.00 pagi, para peserta memulakan aktiviti kembara sambil mengibarkan jalur gemilang yang diketuai oleh Ketua Unit Kelestarian dan Penghijauan Kampus, Ts Nurulakla Mohd Azlan.

Menurut Ts Nurulakla, peserta bukan sahaja dapat meneroka keindahan kampus malah berpeluang mendapatlan maklumat mengenai spesis pokok-pokok tropika yang terdapat di dalam kampus juga pokok jenis nadir.

“Rimba Lestari yang berkeluasan 26.82 ekar itu mempunyai 800 pokok hutan dan 1,800 pokok Akasia.

“Antara pokok kayu tropika yang terdapat di Rimba Lestari ialah Tongkat Ali, Meranti Tembaga, Ketapang, Merbau, Cengal, Beruas, Ketapang, Jelutung dan lain-lain. 

“UMP juga mempunyai dusun seluas 2.2 ekar yang mempunyai 100 pokok buah-buahan antaranya seperti pokok mangga, durian, rambutan, durian belanda, limau bali dan lain-lain lagi. 

“Segelintir pokok buah-buahan ini sudah mula berbunga dan ada yang sudah mengeluarkan buah,” katanya.

Pada masa yang sama, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar  turut menanam pokok Longan sebagai simbolik berakhirnya program Kembara Lestari Merdeka di Dusun UMP.

Sepanjang bulan kemerdekaan ini pelbagai program telah diaturkan seperti pertandingan video pendek Merdeka, Pertandingan Infografik Merdeka dan Aspirasi Merdeka  bermula 15 Ogos 2020 hingga 16 September 2020. 

Pertandingan ini bukan sahaja terbuka kepada warga UMP malah kepada sesiapa sahaja yang berminat.  

Turut diadakan Program Derma Darah, Pameran Hari Kebangsaan dan Program Jom Tanya Pakar Khas Sempena Hari Kemerdekaan dengan tajuk ‘Merdekakah Kita’ bersama Dr. Mat Rofa Ismail yang merupakan Pengkaji Sejarah Melayu dan Islam menerusi FB live-Pusat Islam UMP. 

Sebarang maklumat lanjut dan pertanyaan bolehlah menghubungi pihak urus setia di talian 09-424 5249.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd. Idris, Unit Perhubungan Awam, Pejabat Naib Canselor 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris