Skip to main content

7,071 pelajar UMP kini kembali ke kampus

PEKAN, 7 Mac 2022 – Seramai 7,071 pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) kini kembali memulakan pengajian di kedua-dua kampus Pekan dan Gambang mulai 4 Mac secara berperingkat secara fizikal ke kampus bagi bagi mengikuti pengajian semester II, Sesi Akademik 2021/2022 pada 3 Mac 2022 manakala bagi pelajar sedia ada pada 4 hingga 6 Mac 2022 baru-baru ini. 

Ini susulan daripada pengumuman daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkenaan kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi secara berperingkat mulai 1 Mac ini, dengan jumlah kemasukan pelajar 70 hingga 100 peratus mengikut kapasiti Institusi Pengajian Tinggi (IPT) masing-masing.

Proses kemasukan pelajar ke kampus UMP berjalan lancar apabila semua pelajar dan ibu bapa memberi kerjasama mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

7,071 pelajar UMP kini kembali ke kampus

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, peluang kembali ke kampus ini membolehkan pelajar terutamanya dalam kalangan pelajar baharu yang tidak pernah melangkah ke kampus mengenali serta menyesuaikan diri  dengan sistem pembelajaran juga kehidupan dalam kampus.

“Dalam usaha universiti memastikan kemasukan pelajar dilaksanakan dengan selamat, pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA), Pusat Kesihatan Universiti (PKU) dan Bahagian Keselamatan (BKES) sentiasa menyelaras pergerakan pelajar memasuki kampus dengan mengutamakan keselamatan dan kesihatan pelajar.

“Para pelajar juga dinasihatkan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pengajaran  dan pembelajaran serta mematuhi SOP umum seperti memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan diri,” ujarnya. 

Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMP 2021/2022, Ahmad Fahmi Fazli berkata, pada masa ini pengajian masih dijalankan secara hibrid iaitu bersemuka dan dalam talian mengikut fakulti masing-masing namun bilangan pelajar yang berada di kampus kian bertambah.

Ahmad Fahmi Fazli
Ahmad Fahmi Fazli

“Kelihatan para pelajar gembira dan seronok dapat kembali ke kampus bagi menikmati kehidupan universiti bersama rakan-rakan setelah dua tahun masing-masing mengikuti pengajian secara dalam talian walaupun terdapat antaranya telah berada di kampus.

“Hampir semua kafeteria telah dibuka dan beroperasi kembali seperti biasa serta aktiviti rekreasi sudah dibenarkan kembali untuk mahasiswa menyertai seperti beriadah, kayak, bola tampar dan futsal,” ujarnya.

Namun, beliau turut menasihatkan pelajar untuk mengutamakan perihal kesihatan dan keselamatan masing-masing ketika mendepani peralihan fasa endemik seperti yang diumumkan kerajaan mulai 1 April depan.

Beliau percaya dengan pemikiran yang proaktif dan integriti, pelajar mampu menghadapi kehidupan yang selari dengan endemik ini, sekaligus melakar kejayaan di samping mencipta kenangan yang manis di UMP.

Nur Humairrah Solehah Mohd. Sofian
Nur Humairrah Solehah Mohd. Sofian

Sementara itu, pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Nur Humairrah Solehah Mohd. Sofian juga teruja dapat kembali memandangkan lebih dua tahun telah meninggalkan  kampus.

“Rasa teruja dan seronok sangat apabila dapat balik semula ke kampus. 

“Dapat berjumpa dengan kawan-kawan sekuliah dan yang paling lucu kali terakhir kami jumpa pada masa itu masih di tahun satu dan sekarang kami telah berada di tahun tiga pengajian,” ujarnya.

7,071 pelajar UMP kini kembali ke kampus

Kini ujarnya, pelajar menjalani norma baharu iaitu perlu mengimbas MySejahtera sebelum masuk ke bilik kuliah, penjarakan sosial, pemakaian pelitup muka dan lain-lain lagi.

Sebarang pertanyaan mengenai pengurusan pelajar boleh menghubungi Bilik Gerakan UMP (09-431 6999) atau melalui e-mel, admin_jhepa@ump.edu.my

Manakala berkenaan dengan urusan akademik yang berkaitan prasiswazah, pelajar perlu menghubungi fakulti masing-masing atau Pusat Pengurusan Akademik/Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa di talian 09-4315061/ 09-431 5026 atau melalui e-mel ppa@ump.edu.my / pejabat_tncaa@ump.edu.my

Bagi urusan akademik berkaitan pascasiswazah pula, pelajar boleh menghubungi Institut Pengajian Siswazah (IPS) di talian 09-431 5024 atau melalui e-mel ips.academic@ump.edu.my.

Disediakan oleh: Siti Nur Azwin Zulkapri, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri