Skip to main content

Barisan hadapan PPPH hantar pulang pelajar ke kampung

Kuantan, 28 Mei 2020 - Pengalaman menyelaras lebih 100 trip pergerakan bas universiti dan pihak luar bagi menghantar pulang pelajar ke kampung halaman bermula sejak 30 April sehingga 14 Mei 2020 yang lalu merupakan suatu pengalaman penuh bermakna buat para petugas dan pemandu di Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH).

Walaupun terpaksa bertugas di sepanjang bulan Ramadan dan kebanyakan pergerakan melibatkan waktu malam, ia bukan penghalang buat petugas melaksanakan amanah dan tanggungjawab untuk memastikan segala prosedur keselamatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi demi memastikan pelajar selamat tiba ke destinasi masing-masing

Pengurus PPPH yang juga mengetuai kumpulan ini, Ernie Nurazlin Lizam berkata, hasil kerjasama dengan pihak Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Pusat Kesihatan Universiti (PKU) dan Bahagian Keselamatan pihaknya mampu menjalankan segala tugasan menghantar pelajar mengikut jadual dan kelulusan agensi berkaitan membabitkan pergerakan ke Zon Timur, Selatan, Barat, Tengah,  Utara, Perak, Sabah dan Sarawak.  

“Operasi ini merupakan pengalaman baharu kepada pihak PPPH dalam mengendalikan krisis. 

“Antara cabarannya adalah tatkala berdepan kekurangan bas apabila terdapat beberapa buah bas UMP yang tidak dapat digunakan. 

“Ini disebabkan bas tersebut perlu diselenggara mengikut jadual tetapi tidak dapat dilakukan dalam tempoh PKP. 

“Memandangkan operasi ini melibatkan perjalanan yang jauh maka kondisi keselamatan bas amat penting dan perlu dititikberatkan,” ujarnya.

Ujar beliau lagi, bagi menampung bilangan bas yang tidak mencukupi, pihaknya mendapat kerjasama daripada pengusaha luar seperti bas MARA Liner Sdn. Bhd. 

“Selain itu, operasi ini juga melibatkan pergerakan kumpulan pelajar yang besar terutama bagi zon tertentu seperti di Zon Timur dengan melibatkan sebanyak 29 buah bas dan empat buah van telah digunakan bagi pergerakan pada 30 April 2020 lalu.

“Kenderaan yang disediakan ini bukan sahaja untuk penghantaran pulang pelajar UMP malah termasuk semua pelajar IPT sekitar Pahang memandangkan UMP merupakan pusat operasi penghantaran pulang pelajar bagi Zon Timur,” katanya. 

Sementara itu, bagi Penyelia Kenderaan PPPH, Mohd Azrul Naim Azme, beliau turut berkongsi pengalamannya menguruskan kenderaan semasa Operasi Penghantaran Pulang Pelajar ini. 

“Selain bertanggungjawab mengatur pemandu dan jadual pergerakan, pengurusan kenderaan juga perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP). 

“Semua kenderaan seperti bas dan van perlu dihadkan kapasiti tempat duduknya bagi memastikan penjarakan sosial berlaku,” katanya. 
 
Beliau turut berkongsi pengalaman bagaimana mereka menyelesaikan masalah   apabila bas UMP didapati rosak semasa bergerak ke Zon Selatan, iaitu ke Muar, Johor. 

“Bas ini telah rosak di Muadzam Shah sekitar jam 2.30 pagi dan memandangkan semua bas telah digunakan sepenuhnya maka tiada bas tunggu sedia yang boleh digunakan. 

“Kami terpaksa menghubungi pemandu lain di destinasi berhampiran iaitu bas ke Segamat untuk membantu mengambil pelajar untuk dibawa ke destinasi seterusnya iaitu ke Muar.
 
“Mujur pemandu dan Pegawai Perhubungan (LO) yang turut berada di dalam bas tersebut berjaya menenangkan kesemua pelajar. 

“Alhamdulillah semua pelajar tersebut telah selamat sampai ke destinasinya walaupun sedikit lewat,” katanya lagi.
 
Pemandu UMP, Muhamad Nazri Ismail yang turut bertugas dalam operasi ini menyifatkan pemandu kenderaan juga sebahagian daripada petugas barisan hadapan. 

Menurut beliau, pergerakan pertamanya ke Gua Musang dengan menggunakan van baginya mempunyai pengalaman tersendiri. 

“Antara cabaran yang dihadapinya terpaksa melalui jalan lama iaitu bukan lebuh raya dan ketiadaan stesen minyak.

“Mengikut SOP operasi ini, semua pelajar tersebut akan dihantar ke pejabat daerah atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berhampiran bagi proses penghantaran seterusnya. 

“Setibanya di IPD Gua Musang, pegawai polis bertugas ketika itu telah meminta kerjasama pihak UMP untuk menghantar pelajar tersebut terus ke rumah memandangkan kekangan staf ketika itu dan pihak mereka masih menunggu beberapa bas daripada IPT lain yang akan sampai.

“Dengan kebenaran yang diberikan oleh polis ketika itu, saya terus menghantar pelajar UMP ke rumahnya di Kampung Jerek Dalam, Gua Musang yang jauhnya sekitar 50 km dari IPD Gua Musang. 

“Saya juga dimaklumkan yang keluarga pelajar ini dari golongan susah dan bapanya hanya mempunyai motorsikal sahaja dan terpaksa menyewa kenderaan sekiranya perlu mengambil pelajar tersebut di IPD Gua Musang,” katanya ketika berkongsi pengalaman.
 
Selain ke Gua Musang, beliau turut ditugaskan membawa pelajar pulang ke kampung yang terletak di Zon Selatan dan Tengah.

Bersahur dan menunaikan solat di dalam bas juga suatu pengalaman yang menginsafkan ketika berdepan dengan darurat kerana tiada hentian rehat yang dibuka.
 
Kini setelah lebih 40 hari ‘terkurung’ di dalam kampus berikutan PKP bagi menangani pandemik Covid-19, pelajar boleh menarik nafas lega apabila dapat pulang ke kampung halaman dan beraya bersama keluarga. 

Penghantaran secara berperingkat pelajar ini melibatkan kira-kira 53,000 orang pelajar termasuklah 1,260 orang pelajar dari UMP yang telah terkandas susulan penguatkuasaan PKP yang sejak 18 Mac 2020 lalu. 

Pelajar dinasihatkan agar terus kekal menjaga kesihatan diri dan keluarga serta patuhi arahan yang telah ditetapkan oleh kerajaan dalam usaha menghapuskan rantaian virus COVID-19 ini.

Disediakan Oleh : Mohd. Ferdaus Musa, Pejabat Naib Canselor.

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News