Skip to main content

Belaian Kasih Ramadan UMP rai 80 anak yatim dan asnaf

PAYA BESAR, 21 April 2022 – Seramai 80 orang anak yatim dan asnaf dirai dalam Program Belaian Kasih Ramadan anjuran Perwakilan Mahasiswa Residen Pelajar 2 (PEKA 2) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMP bertempat di Dewan Astaka UMP Kampus Gambang.

Majlis turut dihadiri Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yusserie Zainuddin, Ahli Lembaga Pengarah UMP, Madyasir Ahmad Basir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Rusllim Mohamed.

Penasihat program merangkap Pengetua PEKA 2, Nasrul Salim Pakheri berkata, program ini diadakan bagi berkongsi kegembiraan bersama golongan yang kurang bernasib baik untuk berbuka puasa bersama dan merasai pengalaman berada di persekitaran kampus.

Belaian Kasih Ramadan UMP rai 80 anak yatim dan asnaf

“Program pada hari ini, kita santuni penghuni Taman Pengasih Sultan Haji Ahmad Shah dan Rumah Anak Yatim Asnaf Permata Al-Kauthar. 

“Semoga program ini dapat memberi motivasi kepada anak-anak ini untuk sentiasa meletakkan sasaran akademik yang cemerlang,” katanya. 

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh warga UMP, masyarakat luar dan agensi swasta yang menyumbang dalam menjayakan program ini.

Pihaknya juga mengucapkan tahniah kepada semua mahasiswa yang telah berusaha menjayakan program ini dengan sebaiknya.

Beliau pasti program sebegini ini dapat memberi pengalaman dan peluang kepada mahasiswa UMP untuk meningkatkan kemahiran kepimpinan melalui penganjuran program yang berimpak tinggi terutama kepada masyarakat agar mampu memperkasakan kemahiran kepimpinan mahasiswa itu sendiri.

Dalam program ini, pihak PEKA turut menyerahkan sumbangan RM1,000 bagi setiap rumah anak yatim serta sumbangan duit raya buat penghuni di sini.

Sementara itu, Pengurus Rumah Taman Pengasih Sultan Haji Ahmad Shah, Dura Wahida Mohd Nordin berkata, pihaknya berterima kasih kepada UMP kerana menjemput dan diraikan dalam Majlis Belaian Kasih Ramadan.

“Pihak kami juga bersyukur dengan sumbangan yang diberikan dan sudah tentu majlis sebegini dapat memberi sinar kegembiraan kepada anak-anak ini serta memberi peluang kepada mereka untuk berasa dikasihi dan disayangi,” katanya. 

Manakala menurut salah seorang penghuni Rumah Permata Al Khauthar, Nurain Najwa Mohd Yazid,16, beliau amat gembira apabila dapat berpeluang berbuka puasa di UMP. 

Malahan ujarnya, inilah pengalaman pertama datang ke UMP dan teruja dapat menyaksikan sendiri kampus universiti. 

“Lebih menyeronokkan ialah apabila saya dan kawan-kawan dapat duit raya.

“Sejak arwah ayah meninggal dunia enam tahun lalu saya bersama-sama enam adik-beradik yang lain telah dijaga oleh ibu saya. 

“Kini telah masuk tahun keempat kami tinggal di Rumah Permata Al-Khauthar ini,” katanya.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris