Skip to main content

‘Dunia Milik Anda’ suntik inspirasi buat mahasiswa UMP

PEKAN, 18 Jun 2021 - Program Titipan Hasrat ‘Dunia Milik Anda’ dilihat sebagai wardah dalam membakar semangat dan memberi inspirasi buat mahasiswa terutamanya penerima Insentif Kecemerlangan Platinum Yayasan UMP dan Skuad UMP dalam menempuh peperiksaan. 

Program yang dikendalikan secara dalam talian  menerusi aplikasi Zoom itu disampaikan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMP dan Pengarah Eksekutif, KLCC Urus Harta Sdn. Bhd., Ts. Izwan Hasli Mohd Ibrahim.

‘Dunia Milik Anda memberi gambaran dan inspirasi dalam mempersiapkan diri mahasiswa bagi melangkah ke alam pekerjaan di samping memperjelas hala tuju yang bakal ditempuhi setelah tamat pengajian kelak.
 
Turut sama menyertai progam, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) merangkap Timbalan Pengerusi Yayasan UMP, Profesor Dato' Dr. Yuserrie Zainuddin dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan UMP, Datin Nur Sharmila Shaheen dan Ketua Eksekutif Yayasan UMP, Mohd Jamil Jaa’far.
 
Menurut Ts. Izwan Hasli, terdapat lima perkara penting yang perlu diterapkan dalam menentukan kejayaan sekali gus menentukan siapa dan apa yang ingin kita lakukan pada masa hadapan. 
 
“There’s no substitute for education and capability.  Walau apa yang kita lakukan, jadikan pendidikan itu satu kepentingan walau pelbagai halangan kita tempuhi.

 “Kita perlu sentiasa mencari jalan dan ruang dalam meningkatkan kemampuan diri,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pelajar  agar sentiasa mempunyai cita-cita dan visi dalam kehidupan dan bersedia untuk  berubah haluan.
 
“Bak kata pepatah Melayu, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian,” ujarnya. 

Tambahnya, para pelajar kini  perlu bersusah dahulu dalam usaha menamatkan pengajian kemudian akan datang kejayaan kelak.
 
Ujarnya lagi, pelajar harus mempunyai World Class Mission sama ada yang  besar atau kecil kerana cabaran dan dugaan yang diharungi meskipun kelihatan mustahil namun pada penghujungnya kita tetap dapat mengatasinya.
 
“The world is yours, maka belajarlah  untuk membina seberapa  banyak impian dan fokus untuk kita capai apa yang diinginkan pada masa depan.

Dalam pada itu, Profesor Dato' Dr. Yuserrie  juga turut menitipkan pesanan buat para pelajar agar sentiasa patuh pada arahan semasa terutama ketika mendepani Covid-19. 
 
“UMP sentiasa memerhati, mendengar dan mendapat maklum tentang kebajikan dan keselesaan para pelajar,” katanya.
 
“Malah, universiti juga turut menumpukan  bantuan buat para pelajar yang terkesan dengan Covid-19 dengan menyediakan pelbagai jenis bantuan kewangan yang disalurkan sepanjang tempoh semester ini.
 
Beliau mengharapkan inspirasi dan titipan semangat ini dapat disuntik serta ditanam dan disemat di dalam diri setiap mahasiswa untuk terus bersemangat dan kekal fokus.

Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Unit Komunikasi Korporat,  Pejabat Naib Canselor (PNC) 

 

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim