Skip to main content

Hari Terbuka Pascasiswazah UMP peluang bakal pelajar sambung pengajian

PEKAN, 5 Jun 2021– Orang ramai dan calon pelajar berpeluang menemui para petugas dan pensyarah Universiti Malaysia Pahang (UMP) secara maya di Hari Terbuka Pascasiswazah yang diadakan secara dalam talian pada 5 dan 6 Jun baru-baru ini.

Ia merupakan platform terbaik buat calon pelajar untuk mendapatkan maklumat berkaitan pengajian program pascasiswazah yang ditawarkan UMP secara sepenuh masa atau separuh masa di samping memberi peluang kepada semua calon yang berpotensi untuk memilih UMP sebagai institusi pengajian tinggi mereka.

Hari terbuka yang disiarkan secara langsung melalui Facebook UMP Malaysia itu turut mendapat kerjasama penuh daripada Pusat Pemasaran dan Kemasukan Akademik (PPKA), Jabatan Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (JHEAA), Institut Pengajian Siswazah (IPS), Kolej/Fakulti serta Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang berkaitan.

Menurut Pengarah PPKA, Helmi Mohamed Isa, pada masa ini, program pemasaran secara digital ini merupakan antara norma baharu yang dilaksanakan pihaknya memandangkan negara kini masih berdepan dengan situasi pandemik Covid-19.

“Jika sebelum ini, 90 peratus aktiviti pemasaran program akademik dilakukan secara fizikal namun atas arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan peraturan di peringkat universiti ia lakukan secara dalam talian.

“Penganjuran kali ini menyasarkan calon pelajar yang berpotensi baik dari dalam negara mahupun luar negara serta dalam kalangan pelajar UMP yang berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.

Sementara itu, Dekan Institut Pengajian Siswazah (IPS), Profesor Datin Dr. Mimi Sakinah Abdul Munaim berkata, sebanyak 12 slot disiarkan bersempena hari terbuka ini termasuklah penerangan berkaitan program Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Fakulti Sains dan Teknologi Industri (FSTI), Fakulti Komputeran (FK) dan Pusat Sains Matematik (PSM).

“Pada hari kedua pula, program melibatkan Pusat Bahasa Moden (PBM), Pusat Sains Kemanusiaan (PSK), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FTKEE), Pusat Hubungan Antarabangsa (PuHA), Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif (FTKMA) dan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM).

“Bakal pelajar juga berpeluang mendapatkan maklumat mengenai penajaan dan pembiayaan termasuk geran dan biasiswa Doctoral Research Scheme (DRS) dan Master Research Scheme (MRS), Yayasan UMP, PTPTN, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Pinjaman Pendidikan Yayasan Pahang dan Malaysian International Scholarship (MIS) buat pelajar dari luar negara,” katanya.

Lebih 50 lapangan bidang penyelidikan berteraskan Kejuruteraan dan Teknologi ditawarkan pihak universiti.
Orang ramai boleh melayari ips.ump.edu.my dan admission.ump.edu.my atau e-mel ips.admission@ump.edu.my untuk maklumat lanjut.

Disediakan Oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim