Skip to main content

Hubungan strategik UMP dengan sekolah kluster, pasukan Velionne harumkan nama negara

PEKAN, 8 Jun 2021 - Jaringan strategik Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan sekolah kluster membuahkan hasil apabila pasukan Velionne Racing dari Sekolah Menengah Sultanah Hajjah Kalsom (Malaysia) dan Shanghai Pinghe Middle Schools (China) menerima anugerah khas pengiktifaran panel juri dalam pertandingan F1 in Schools World Finals secara dalam talian di United Kingdom baru-baru ini. 
Pasukan Velionne Racing itu terdiri daripada tiga orang ahli iaitu Nur Hadfina Abdul Majid, Nazrah Umairah Nazrin Effendi dan Nur Anis Ayuni Ishamudin dari Malaysia manakala tiga orang ahli lain iaitu Dengjing Wu, Leyu Xu dan Zhicheng Lin pula dari China.
Bersaing dengan 44 buah pasukan dari pelbagai negara, Velionne Racing telah mendapat tempat dengan kolaborasi antarabangsa antara negara Malaysia dan China.
Kumpulan ini juga merupakan antara lapan pasukan daripada Malaysia yang berada sebaris dengan pasukan-pasukan dari negara Eropah.
Mereka layak dengan kerjasama antarabangsa dan terpilih menerima anugerah setelah berentap sengit dengan pasukan dari Sepanyol dan Brazil.
Menurut Timbalan Dekan, Institut Pengajian Siswazah (IPS), Profesor Ir. Dr. Ahmad Razlan Yusoff dari Kolej Kejuruteraan UMP, Cikgu Hasfasuriazal Hasman bersama pelajar sekolah ini kerap mengadakan perundingan berkaitan penggunaan teknologi pembangunan bahan resin dalam penghasilan prototaip menggunakan pencetak tiga dimensi bersama pihak universiti.
“Kerjasama baik ini juga melibatkan penggunaan alatan di UMP dalam menganalisis elemen dan menguji kekuatan plastik sebagai persiapan menghasilkan model F1.
“Dengan dibantu Dr. Jamilludin Jamil selaku Ketua Teknikal, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Hajjah Kalsom yang merupakan sekolah angkat atau kluster UMP sejak tahun 2012 itu telah berjaya mengharumkan nama UMP di persada tanah air dan antarabangsa termasuk di Amerika Syarikat dan Singapura.
“Banyak pengalaman dan kepakaran diperoleh hasil kerjasama baik UMP dalam usaha membantu pihak sekolah mencipta kejayaan dalam dan luar negara,” katanya.
Malahan katanya, suntikan semangat dan sokongan pensyarah UMP, Profesor Madya Dr. Norhayati Abdullah dan dan pegawai penyelidik Nur Syuhada’ Asmar banyak menyumbang kepada kesungguhan pelajar untuk mendalami bidang kejuruteraan polimer serta menanam minat terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sebagai kerjaya pada masa hadapan.
Dalam pada itu, pihak sekolah juga berjaya menjadi johan dalam pertandingan F1 in Schools Peringkat Zon Timur setiap tahun mulai tahun 2012 sehingga tahun 2018 termasuklah berjaya menjadi johan keseluruhan pertandingan peringkat kebangsaan untuk tiga tahun berturut-turut.
Hubungan strategik dengan sekolah kluster ini turut membabitkan penawaran perkhidmatan kepakaran staf fakulti dan berjaya menonjolkan identiti UMP di persada antarabangsa.

Disediakan Oleh: Profesor Ir. Dr. Ahmad Razlan Yusoff, Kolej Kejuruteraan dan Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit