Skip to main content

Karnival Bahasa dan Budaya UMP meriah

PAYA BESAR, 17 Disember 2022 - Penganjuran Karnival Bahasa dan Budaya anjuran Pusat Bahasa Moden (PBM) dan Pusat Hubungan Antarabangsa (PuHA), Universiti Malaysia Pahang (UMP) mampu menyemarakkan semangat kecintaan pelajar terhadap bahasa dan budaya di samping memperkukuh keyakinan mereka dalam berkomunikasi serta memahami budaya pelbagai negara. 

Bertemakan ‘Language Empowerment and Language Diversity for Global Competence & Sustainable Lifelong Goals’, program ini dapat meningkatkan keyakinan pelajar dalam memperkukuhkan penguasaan dalam bahasa Melayu dan meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris serta bahasa-bahasa asing yang ditawarkan di PBM seperti bahasa Jerman, bahasa Mandarin, bahasa Jepun, bahasa Arab dan bahasa Sepanyol.

Hadir merasmikan program ialah Pengarah Pusat Inovatif dan Daya Saing Akademik, Profesor Ts. Dr. Kamal Yusoh yang hadir mewakili Naib Canselor UMP. 

Karnival Bahasa dan Budaya UMP meriah

Menurut Profesor Ts. Dr. Kamal, kemahiran berkomunikasi dalam pelbagai bahasa akan melahirkan graduan yang mempunyai kebolehpasaran dan daya saing yang tinggi. 

“Kepentingan integrasi bahasa ini membolehkan pelajar meningkatkan kemahiran, berpemikiran kritis dan mempamerkan kreadibiliti di pentas dunia. 

“Malahan kemahiran menguasai bahasa asing ini juga penting sebagai jambatan ilmu kepada persefahaman dalam berinteraksi di peringkat antarabangsa,” katanya. 

Turut sama hadir Dekan PBM, Profesor Madya Dr. Nik Aloesnita Nik Mohd Alwi, Pengarah Program UMP Language & Cultural Carnival 2022, Dr. Ezihaslinda Ngah, Ketua Pegawai Eksekutif Makmur Gold, Mohd Faizuddin Che Mahmood, Pengurus Besar Koperasi Makmur Malaysia Berhad, Murshidi Jailan dan Timbalan Dekan Akademik PBM, Dr. Fatimah Ali. 

Turut berlangsung pelancaran Language Empowerment Assistance Programme (LEAP) iaitu program intervensi yang direka dan dianjurkan dalam menyediakan bantuan bahasa kepada semua pelajar UMP termasuk pelajar program asasi, diploma, ijazah dan pascasiswazah. 

Menerusi Program LEAP ini, PBM menawarkan perundingan kemahiran bahasa termasuk mendengar, membaca, bertutur dan menulis, bukan sahaja untuk bahasa Inggeris namun untuk semua bahasa asing yang ditawarkan oleh PBM.

Sepanjang karnival berlangsung turut diadakan pertandingan termasuklah Community Engagement, Lessons in Life, From Where I Am Sitting, Play Your Role dan Twisted Ending.

Turut berlangsung forum perkongsian ilmu bertajuk ‘Technical Knowledge Is More Important Than Language Mastery at the Workplace: Myth or Fact?’ yang bertujuan memberi pendedahan kepentingan bahasa di tempat kerja dan menggalakkan penyertaan pelajar untuk berkongsi ilmu tentang penguasaan serta penggunaan bahasa sebagai persediaan untuk menempuhi alam perkerjaan.

Pelajar turut berpeluang berkunjung ke reruai yang mempamerkan kursus bahasa terpilih yang ditawarkan di PBM termasuk kursus-kursus elektif dan Sijil Program Pengkhususan Terbuka (SPPT). 

Bersempena dengan itu juga turut diadakan aktiviti Walk in Interview for Facilitators dan paneran kelab-kelab bahasa dalam mempromosikan aktiviti masing-masing.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri. 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit