Skip to main content

Kelab Orator UMP anjur Pertandingan Pidato Malaysia Sejahtera Dalam Talian Peringkat Antarabangsa 2020

KUANTAN, 19 Disember 2020 - Kelab Orator Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah berjaya menganjurkan pertandingan Pidato Malaysia Sejahtera Dalam Talian Peringkat Antarabangsa 2020 baru-baru ini yang disertai 116 peserta dari dalam dan luar negara

Pertandingan ini telah dilaksanakan kepada seluruh komuniti di seluruh dunia secara dalam talian (online) pada 19 hingga 25 Oktober 2020 dengan kerjasama Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR). 

Keputusan pertandingan telah diumumkan pada 4 Disember yang lalu dengan memilih 30 pemidato terbaik. 

Antara universiti yang mengambil bahagian adalah Guangxin University for Nationalities, Beijing Foreign Studies University, Universiti Pengajian Asing Guangdong China, pensyarah, guru, siswa-siswi, belia, murid sekolah menengah dan rendah serta masyarakat awam. 

Kesemua peserta telah menerima e-sijil penyertaan dan e-sijil penghargaan kepada pemidato terbaik. 

Menurut Penasihat Pertandingan yang juga merupakan Guru Bahasa, Pusat Bahasa Moden (PBM), Juwairiah Osman, pertandingan yang pertama kali dianjurkan oleh Kelab Orator UMP ini mendapat sambutan yang menggalakkan. 

“Saya memanjatkan rasa syukur dan berterima kasih kepada semua peserta atas sokongan yang diberikan. 

“Terima kasih juga kepada semua yang terlibat khususnya para pelajar daripada Kelab Orator, PBM, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Pejabat Naib Canselor (PNC) UMP, dan PENYAIR.

“Semoga pertandingan ini dapat memberi manfaat kepada semua peserta dan menyuntik semangat komuniti untuk menyampaikan ucapan melalui ilmu berpidato,” katanya. 

Manakala menurut Pengarah Program, Nurayuni Norli yang juga merupakan pelajar jurusan kejuruteraan di UMP menyatakan beliau dan pasukannya melaksanakan pertandingan ini dengan sedaya upaya bagi memasyarakatkan pengucapan awam dan mengasah bakat kepimpinan serta pengurusan sesuatu program. 

Presiden Kelab Orator Sesi 2020/2021, Syahmi Aiman Adnan turut merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan sinergi JHEPA UMP, PENYAIR Malaysia dan kesemua peserta kerana bertungkus-lumus menjayakan program hebat seumpama ini. 

Selain dapat memasyarkatkan ilmu pengucapan awam kepada komuniti, program seumpama ini sangat bermanfaat kerana menjadi platform dalam mengasah bakat menulis teks pidato, menyerlahkan keyakinan diri dan menambah kenalan dalam kalangan peserta di samping dapat mengisi masa terluang di era pandemik Covid-19 ini. 

Bertemakan ‘Kemajuan, Kejayaan dan Keharmonian Malaysia’, para peserta telah memberi persembahan terbaik dan mencuba dengan baik untuk menggarap idea dan mesej dalam pidato masing-masing. 

Uniknya pertandingan ini, para pemidato menyampaikan pidato bukan sahaja dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, malah dalam bahasa asing iaitu bahasa Mandarin, bahasa Tamil, bahasa Arab, bahasa Jepun, bahasa Jerman, bahasa Sepanyol dan juga bahasa Korea. 

Namun, penyertaan yang diterima adalah daripada pemidato bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Tamil, bahasa Mandarin, bahasa Arab dan bahasa Korea.

Istimewa dalam pertandingan Pidato Malaysia Sejahtera ini ialah pihak penganjur turut menerima penyertaan daripada mantan Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Dato' Profesor Emeritus Dr. Hashim Yaacob telah menyampaikan pidatonya bertajuk ‘Malaysia Tanah Air Tercinta’ dan dalam bahasa Korea bertajuk ‘Sarang Haneun, Na-e- Chokuk Malaysia’. Pidato ini ditulis oleh beliau bersama Profesor Madya Dr. Kim Keun Hyun. 

Turut serta pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr. Kim Keum Hyun yang merupakan warganegara Korea Selatan.

Disediakan Oleh: Juwairiah Osman, Pusat Bahasa Moden (PBM)

Reports by:
Admin UMP News