Skip to main content

Kolaborasi strategik UMP dengan 4 industri manfaatkan kebolehpasaran graduan

PEKAN, 24 September 2021 - Kolaborasi strategik Universiti Malaysia Pahang (UMP) dengan empat rakan industri iaitu Kiarafics Sdn. Bhd (Kiarafics), LBB Teams (M) Sdn. Bhd. (LBB Teams), Project Management Institute Malaysia Chapter (PMIMY) dan Singularity Aerotech Asia Sdn. Bhd. (SAT Asia) bakal memanfaatkan hubungan dua hala universiti-industri.

Di samping itu juga kolaborasi ini juga mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam memenuhi keperluan tenaga kerja di industri bukan hanya di peringkat tempatan bahkan di peringkat global.
 
Sebagai sebuah universiti teknikal di Malaysia, UMP sentiasa meneroka peluang kerjasama dalam berkongsi kepakaran para pensyarah dan penyelidik yang dapat menyumbang terhadap masyarakat, industri dan pembangunan negara seiring dengan Pelan Strategik UMP 25.
 
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP berkata, kerjasama UMP dengan pihak Kiarafics menyaksikan kerjasama akademik dalam pelaksanaan Mod Pengajian Industri (Work-based Learning) dalam bidang yang berkaitan kepada staf dan pelajar UMP. 

“Ia juga bagi memastikan jenis kursus yang ditawarkan relevan dan sesuai diceburi pelajar selepas bergraduat kelak.  
 
“Pihak Kiarafics bersedia membantu dalam penempatan Latihan Industri (LI) pelajar UMP selain terlibat di dalam pembangunan silibus kurikulum program-program di bawah Fakulti Pengurusan Industri (FPI). 

“Kerjasama ini  termasuklah pelaksanaan persidangan, kajian dan penyelidikan dalam bidang kewangan dan teknologi digital,” ujar Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie ketika berucap dalam majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang berlangsung secara dalam talian baru-baru ini.
 
Hadir menandatangani MoU, Ketua Pegawai Eksekutif Kiarafics, Muhammad Firdaus Zakaria, Ketua Pegawai Eksekutif LBB Teams (M) Sdn. Bhd, Profesor Dr. Marco Tieman, Presiden Project Management Institute Malaysia Chapter, David Khaw dan Ketua Pegawai Eksekutif Singularity Aerotech Asia Sdn. Bhd., Hafeiz Hassan. 

Turut sama hadir Bendahari/Ketua Pegawai Kewangan UMP, Zainuddin Othman, Pendaftar/Ketua Pegawai Eksekutif UMP, Hazmin Aris, Dekan FIM, Dr. Mohd. Hanafiah Ahmad dan Penolong Naib Canselor Jabatan Pembangunan Graduan, Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin.
 
Majlis juga menyaksikan kerjasama UMP dengan pihak LLB Teams  yang bakal memanfaatkan pelajar dalam latihan industri, perundingan, penyelidikan, penganjuran karnival kerjaya, penajaan dan pelaksanaan program ‘3u1i’ yang memfokuskan dalam perolehan, pengeluaran dan  pengurusan rantaian nilai.    
 
Manakala kerjasama UMP dengan SAT Asia pula menyaksikan syarikat ini bakal menyediakan penempatan bagi pelaksanaan  program pembelajaran berasaskan  ‘3u1i’ dan  ‘2u2i’  yang menumpukan aspek teori bagi menimba pengalaman dalam industri seiring dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).
 
Selain itu, kolaborasi UMP dengan pihak PMIMY memfokuskan kepada pembangunan dan pelaksanaan program Sarjana Pengurusan Projek (Master of Project Management) di PMIMY. 

Ini termasuklah inisiatif pensijilan profesional yang ditawarkan oleh Project Management Institute (PMI) kepada staf dan pelajar.
 
Kedua-dua pihak juga akan bekerjasama dalam memperkasakan keahlian dan inisiatif kesukarelawanan melibatkan pelajar prasiswazah, pascasiswazah, alumni dan staf  FIM di PMIMY serta penempatan latihan industri bagi pelajar di dalam industri berlandaskan projek.
 
Pihak universiti sentiasa komited mencipta inovasi dan keunikan dalam mengeratkan hubungan baik dengan industri dan menambah nilai dalam program kejuruteraan dan teknologi melalui proses penanda aras secara berterusan melalui program kerjasama antarabangsa dengan institusi Jerman dan China.
 
Baru-baru ini, UMP telah berjaya mengekalkan kedudukan berada di tangga ke 301-500 terbaik dunia dan di kedudukan tujuh terbaik di Malaysia dalam Penilaian QS Graduate Employability Rankings 2022 oleh Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings. 

Ia dinilai berdasarkan reputasi majikan, hasil alumni, kerjasama dengan majikan, hubungan majikan-pelajar dan kadar kebolehpasaran graduan.

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri