Skip to main content

Kolaborasi UMP dalam buku Paya Besar, Menyingkap Silam dan Mendepani Masa Hadapan

PUTRAJAYA, 28 Jun 2021 – Baru-baru ini telah berlangsungnya sesi wawancara bersama Menteri Besar Pahang, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail untuk penyediaan buku Paya Besar, Menyingkap Silam, Mendepani Masa Hadapan di Pejabat Timbalan Menteri Kewangan II, Kementerian Kewangan Malaysia.

Buku hasil penyelidikan dan penulisan daripada Penerbit UMP dan Institut Tamadun dan Kajian Strategi UMP (ITKAS) ini menggarap sejarah dan masa hadapan kawasan Paya Besar dalam konteks masa lalu, masa kini dan masa hadapan. Bahkan ia sangat signifikan dalam membina perancangan ekonomi dan pembangunan masyarakat setempat di Paya Besar.

Ia hasil kerjasama daripada pihak Parlimen Paya Besar, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Menurut Pengarah ITKAS, Profesor Madya Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, UMP terlibat secara langsung bukan sahaja dalam penerbitan buku, malah ITKAS UMP turut terlibat dalam penyelidikan Pembangunan Pelan Strategik Paya Besar 2030.

“YAB Menteri Besar Pahang telah menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penghasilan buku yang akan diterbitkan kelak,” katanya.

Wawancara yang berlangsung selama 30 minit itu turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Paya Besar merangkap Timbalan Menteri Kewangan II, Yang Berhormat Mohd Shahar Abdullah dan Setiausaha Kerajaan Pahang, Yang Berbahagia Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak.

Disediakan Oleh: Muhammad Azli Shukri, Penerbit UMP

Reports by:
Admin UMP News