Skip to main content

Kolaborasi Yayasan UMP dan UCTS terhadap kebolehpasaran graduan

KUANTAN, 23 Oktober 2021 - Terus giat dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan, Universiti Malaysia Pahang (UMP) melalui Yayasan UMP dan anak syarikat Kumpulan UMP Holdings Sdn. Bhd., UCT Solutions Sdn. Bhd. (UCTS) memeterai kerjasama sebagai hub (one- stop centre) dalam pembangunan pelajar dan graduan UMP.

Hadir menandatangani perjanjian Pengerusi Yayasan UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin manakala pihak UMPH diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan UMP Holdings Sdn. Bhd., Ir. Dr. Syed Mohammad Hamzah Al-Junid Syed Abdul Rahman dan Pengurus Besar UCTS, Sa’udin Sulong.

Menurut Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz, pihak universiti amat prihatin dan komited dalam usaha meningkatkan kebolehpasaran graduan.

“Menerusi kerjasama ini, pelajar dan graduan berpeluang mendapat penempatan dan menjalani latihan serta pemindahan teknologi daripada negara yang mempunyai kepakaran terutamanya dalam bidang kejuruteraan dan teknologi termasuklah di negara Jerman dan China,” katanya dalam majlis yang berlangsung di Hotel Zenith, Kuantan baru-baru ini.

Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz mengharapkan kerjasama ini dapat memberi peluang dan ruang kepada pelajar dan alumni UMP melanjutkan pengajian di peringkat antarabangsa.

Ia juga seiring dengan hasrat universiti dalam menjayakan Pelan Strategik UMP 2021-2025.

UMP mempunyai jaringan kerjasama akademik yang kukuh dengan Republik Persekutuan Jerman yang turut melahirkan graduan berdaya saing.

Program kejuruteraan dan teknologi sentiasa ditambah nilai melalui proses penanda aras secara berterusan menggunakan model pendidikan Kejuruteraan Jerman (Fachhochschule) bertaraf dunia seperti program kerjasama dengan UMP-Karlsruhe University of Applied Science (HKA) Jerman.

Universiti juga akan terus memberikan yang terbaik di samping meningkatkan kualiti graduan dan kebolehpasaran graduan bagi melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang serta memenuhi keperluan industri.

Untuk rekod, UMP kini berada pada kedudukan 301-500 universiti terbaik dunia dari segi kebolehpasaran graduan dalam penarafan QS Graduate Employability Ranking 2022 (QS GE).

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) 
 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit