Skip to main content

Manfaatkan kehidupan dan gembirakan insan lain sangat dituntut

Pekan, 21 Januari- Sentiasa hiasi kehidupan dengan berbuat kebaikan serta memberi manfaat kepada insan lain. Manfaat ini tidak sahaja terhad dengan memberikan sesuatu seperti harta atau barangan malahan cukup sekadar memberikan pertolongan juga dapat membantu meringankan beban orang di sekeliling kita. Komitmen untuk menolong tidak mengira jawatan dan sesiapa sahaja yang penting niat untuk menolong. 

Dalam kehidupan seharian, amalan mengucapkan tahniah atas kejayaan untuk berkongsi kegembiraan dengan orang lain juga merupakan sifat yang terpuji. Begitu juga apabila berinteraksi, sebaiknya kita bercakap dengan bahasa yang elok dan menggunakan laras bahasa yang sesuai mengikut situasi apabila berkomunikasi memandangkan kita hidup bermasyarakat.  

Perasaan berbaik sangka sesama insan sangat dituntut bagi menjamin hubungan persahabatan serta persaudaraan menjadi lebih baik. Apabila hati bebas daripada sangka buruk, maka yang ada dalam hati adalah sangkaan yang baik-baik saja. Pada masa sama kelebihan berbaik sangka adalah dapat mengelakkan masyarakat daripada berpecah-belah yang hanya akan merugikan persatuan dan organisasi.

“Buang sifat dengki, bermuafakat dan berada dalam persatuan menjadikan ahlinya saling membantu, menyatukan hati dan kebaikannya boleh dimanfaatkan kepada insan lain. Misalnya, menyediakan saluran bantuan sumbangan makanan percuma untuk anak-anak sedang belajar dan juga buat staf boleh menggembirakan mereka,” kata Ustaz Dato’ Haji Badli Shah Haji Alauddin yang merupakan Imam Besar Masjid Negeri Pahang. Tambahnya, terdapat empat amalan yang mana Allah akan meninggikan darjat sesorang iaitu ilmu yang dimanfaatkan, jangan bersikap sombong, suka menolong orang dan berbudi pekerti yang mulia.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan warga UMP untuk terus berganding bahu dan memberi sokongan terhadap penubuhan SEJAHTERA dengan matlamat untuk menyemai sikap tolong- menolong dan saling bantu- membantu.  

Ustaz Dato’ Haji Badli hadir menyampaikan ceramah bertajuk “Sejahtera UMP - Muafakat Membawa Berkat” bersempena Siri Keenam: Bicara Cendekiawan Mulia bersempena Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Pertama Persatuan Kebajikan & Kesejahteraan Staf UMP (SEJAHTERA) yang berlangsung hari ini di Dewan Bankuet UMP Pekan. 

Hadir sama dalam majlis Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ts. Dr Mohd. Rosli Hainin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dato’ Dr Yuserrie Zainuddin dan Pengerusi JK Penaja SEJAHTERA, Dr. Muhammed Nafis Osman Zahid. 

SEJAHTERA merupakan satu platform yang dapat menghimpunkan seluruh entiti staf dari pebagai peringkat sebagai sebuah keluarga besar UMP yang akan terus memperkasakan nilai teras UMP. Ianya juga dilihat sebagai pemangkin dalam mewujudkan komuniti UMP yang mempunyai persefahaman, memperkukuhkan ukhwah, harmoni dan saling hormat-menghormati untuk terus `Bergerak Bersama’ UMP mencapai kegemilangan.

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri