Skip to main content

Pelajar baharu UMP daftar masuk asrama secara pandu lalu

Kuantan, 8 Ogos 2020 - Buat julung kalinya, Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima seramai 822 pelajar baharu program Diploma bagi sesi akademik 2020/2021 yang mendaftar asrama secara pandu lalu baru-baru ini.

Sebanyak enam program ditawarkan pada kali ini iaitu Diploma Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Diploma Sains Komputer, Diploma Kejuruteraan Awam, Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Diploma Kejuruteraan Kimia dan Diploma Kejuruteraan Elektrik (Elektronik Industri).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin berkata, kaedah ini dilaksanakan bertujuan untuk mengekang penularan wabak Covid-19 sekaligus mematuhi tatacara pengendalian piawai (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Kehadiran pelajar hanya untuk mendaftar asrama kerana pendaftaran pelajar baharu Program Diploma Sesi Akademik 2020/2021 telah dibuat sepenuhnya secara dalam talian pada 20 hingga 25 Julai 2020 yang lalu.

“Pada kali ini, ibu bapa hanya perlu menghantar pelajar di pintu masuk dan hanya pelajar sahaja yang dibenarkan untuk memasuki kawasan asrama.

“Pada masa yang sama, kita amat menitikberatkan pematuhan SOP seperti penjarakan fizikal, penggunaan pelitup muka dan hidung serta pensanitasi tangan sepanjang berada di dalam kawasan asrama bagi mengelak sebarang kemungkinan,” ujar beliau.

Hari Suai Kenal yang membabitkan pelajar baharu juga turut diadakan secara dalam talian pada 2 Ogos 2020 yang disiarkan menerusi aplikasi Zoom dan FB UMP Malaysia bermula jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam.

Bagi pasangan kembar Muhammad Nur Mirza Hassan dan Muhammad Nur Izzat, 18, mereka teruja apabila ditawarkan dalam jurusan sama Diploma Kejuruteraan Kimia di UMP.

Lebih mengejutkan mereka apabila kedua-duanya terpilih menerima Insentif Pendidikan Yayasan UMP iaitu wang tunai sebanyak RM1,000 pada hari pertama mendaftar.

“Dengan wang ini dapatlah meringankan bebanan perbelanjaan kami di UMP.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan UMP yang terlalu mengambil berat dengan masalah pelajar yang mempunyai masalah kewangan seperti kami,” kata Muhammad Nur Izzat yang bersyukur ditempatkan dalam satu bilik yang sama dengan kembar beliau.

Selain pasangan kembar ini, seramai 19 lagi pelajar baharu yang mendaftar masuk UMP untuk melanjutkan pengajian Diploma sesi 2020/2021 menerima Skim Bantuan Insentif Pendidikan bernilai RM1,000.

Inisiatif pihak Yayasan UMP ini sebagai membantu meringankan beban kewangan buat keluarga terutamanya menjelang hari pendaftaran.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Perhubungan Awam dan Media, Pejabat Naib Canselor  

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris