Skip to main content

Pelajar teruja, UMP sambut pelajar kembali ke kampus

PEKAN, 24 Oktober 2021 – Teruja dan bangga. Itulah perasaan yang dikongsikan oleh Lee Zhe Shean, 19, pelajar tahun 2 Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Malaysia Pahang (UMP) setelah dibenarkan untuk kembali ke kampus setelah setahun mengikuti pembelajaran secara dalam talian.

Lebih membanggakan apabila semasa sesi penyerahan kunci asrama disampaikan sendiri oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman dan disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin.
Menurut Lee Zhee Shean, beliau terkejut apabila menyedari di hadapannya merupakan seorang yang berjawatan penting di UMP setelah Tan Sri memperkenalkan diri ketika hadir mendaftar.  

“Tak sangka, Tan Sri sendiri yang menyerahkan kunci asrama kepada saya.

“Tan Sri juga peramah dan mudah mesra dengan banyak berbual mengenai dirinya serta kemasukan saya ke UMP.
“Ketika itu keluarga saya juga turut terkejut dan saya telah menerangkan kepada mereka yang menyambut kita ini merupakan ahli pengurusan tertinggi UMP,” katanya.

Ujarnya, inilah pengalaman pertama beliau dan keluarga menjejakkan kaki ke Pekan dan kampus UMP.

“Saya berasa sungguh bertuah menjadi salah seorang yang mendapat layanan dari VVIP UMP,” katanya sambil ketawa.

Beliau turut memuji proses kemasukan pelajar ke kampus yang diuruskan oleh petugas UMP yang amat sistematik dengan sokongan aplikasi ADAB@UMP menjadikan proses ujian saringan COVID-19 ke kampus berjalan dengan baik.

Sementara itu, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz sempat meluangkan masa hampir satu jam untuk berjumpa barisan hadapan UMP yang melibatkan petugas Bahagian Keselamatan (BKES), Pusat Kesihatan Universiti (PKU) dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) yang sedang bertugas menguruskan kemasukan pelajar kembali ke kampus yang masuk minggu kedua sejak 15 Oktober lalu.

Beliau turut diberi penerangan mengenai proses pergerakan pelajar ke kampus dan bagaimana pihaknya melakukan ujian saringan COVID-19.

Dalam pada itu, pergerakan pelajar pulang ke kampus turut melibatkan persiapan petugas daripada Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH) dalam mengendalikan pergerakan pelajar menggunakan kenderaan universiti.

Dalam pada itu, Pegawai Perubatan PKU, Dr. Norhilda Abdul Karim berkata, pelajar perlu melalui tiga kaunter saringan dan setelah mendapat keputusan ujian tersebut, pelajar dibenarkan untuk terus bergerak sama ada ke asrama atau pusat isolasi yang disediakan oleh UMP.

Dijangkakan seramai 6,500 orang pelajar akan kembali ke kampus secara berperingkat sehingga penghujung bulan Oktober ini.

Dalam kunjungan pada kali ini, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz bersama pengurusan UMP turut dibawa ke Pusat Kokurikulum dan Pusat Selam UMP yang bakal menjadi tarikan baharu buat warga kampus.

UMP merupakan satu-satunya universiti awam (UA) yang memiliki Pusat Selaman di dalam kampus yang bakal dijadikan pusat kajian dengan menawarkan kursus-kursus persijilan dan program-program latihan profesional kepakaran menyelam kepada warga kampus dan juga komuniti.

Disediakan oleh:  Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris