Skip to main content

Pelajar UMP teruja raikan sambutan Aidilfitri

PAYA BESAR, 23 Mei 2022 - Selepas dua tahun tidak menyambut kemeriahan Hari Raya Aidilfitri, pastinya ketibaan bulan Syawal kali ini dinanti dengan rasa teruja dalam kalangan pelajar.
 
Sejak awal pagi pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) telah mula hadir untuk tidak melepaskan peluang meraikan raya dan menikmati juadah hari raya dalam Majlis Ukhuwah Aidilfitri dan Jasamu Dikenang anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) yang berlangsung di Dewan Astaka UMP Kampus Gambang. 
 
Majlis diserikan dengan kehadiran Naib Canselor UMP, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Ts. Dr. Rusllim Mohamed dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti (Wakil Alumni), Madyasir Ahmad Basir.
 
Menurut Profesor Dato’ Ts.  Dr. Yuserrie, dalam tempoh 12 tahun sejak tahun 2012 beliau dilantik sebagai Dekan JHEPA, Penolong Naib Canselor HEPA dan seterusnya dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor HEPA menjadikan beliau begitu dekat dengan pelajar. 

Pelajar UMP teruja raikan sambutan Aidilfitri

“Terdapat banyak pembolehubah yang menentukan prestasi pelajar dan pembentukan sahsiah diri untuk terus dipertingkat pada masa akan datang. 

“Keperluan dan kemudahan pelajar, kepentingan asrama, keselamatan dan kesejahteraan akan terus dibangunkan untuk keselesaan pelajar,” katanya.
 
Beliau mengharapkan JHEPA akan terus memainkan peranan memandangkan 70 peratus masa pelajar berada di asrama dan dewan kuliah.
 
Sementara itu, Profesor Madya Ts. Dr. Rusllim berkata, pihaknya berhasrat akan memperbanyakkan aktiviti pelajar dan pembangunan serta melihat semua kemudahan di Residensi Pelajar (RP) bagi memastikan kesejahteraan warga kampus.
  
Pihaknya akan memastikan kebajikan dan kesejahteraan pelajar sentiasa menjadi keutamaan dan memperkasa institusi asrama dan residensi pelajar.
 
Turut berlangsung Majlis Jasa Dikenang  bagi menghargai Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie yang kini merupakan Naib Canselor UMP kelima UMP. 

Turut dirai staf JHEPA yang bertukar jabatan. 
 
Sambutan Aidilfitri disambut meriah dengan pelbagai menu hari raya untuk dinikmati pelajar dan turut berlangsung pameran aktiviti Ikatan Siswa Anak darul Ta'azim (ISKANDAR) dan Sekretariat Majlis mahasiswa Anak-anak Pahang (Semampan).  
 
Disediakan oleh: Mimi Rabita Haji Abdul Wahit, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit