Skip to main content

Pelan Strategik UMP 25 sasar 6 objektif tingkat kebolehan teknikal negara

PEKAN, 26 Ogos 2021 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menetapkan enam objektif strategik dalam Pelan Strategik UMP 2021-2025 (UMP25) bagi mencapai sasaran universiti ke arah meningkatkan kebolehan teknikal negara.

Penetapan keunggulan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi, inovasi dengan kerjasama industri dan penerokaan teknologi berimpak tinggi menjadi teras agenda Pelan Strategik UMP25.Turut diberi perhatian ialah kelestarian kewangan, kecemerlangan ekosistem universiti dan pengantarabangsaan dan keusahawanan graduan.

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusof, pembentukan Pelan Strategik UMP25 ini adalah sejajar dengan fasa terakhir Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).

“Usaha ke arah kegemilangan universiti melibatkan kecemerlangan yang digariskan melalui penawaran program akademik, memanfaatkan teknologi terkini, penerokaan teknologi baharu, pengurusan kewangan dan pentadbiran serta pengantarabangsaan dan keusahawanan.

“Ia juga berfokus kepada kecemerlangan dalam usaha menyediakan pendidikan, penyelidikan dan perkhidmatan teknologi aras tinggi yang dipacu bersama komuniti melalui ekosistem keusahawanan sosial dengan memberi tumpuan terhadap kecemerlangan perkhidmatan bersama komuniti.

“UMP komited menghasilkan graduan holistik yang mempunyai ciri-ciri keusahawanan pada diri mereka dengan menyediakan ekosistem keusahawanan yang mantap,” ujarnya.
 

Pelan Strategik UMP 25 sasar 6 objektif tingkat kebolehan teknikal negara

Tambahnya, dalam usaha mencapai objektif pengantarabangsaan dan keusahawanan graduan, UMP memfokuskan aspirasi bagi melahirkan graduan yang bukan sahaja berketerampilan malah berdaya saing dan sentiasa ke hadapan dalam negara dan juga di peringkat antarabangsa.

“Justeru, Jabatan Pembangunan Graduan diwujudkan dengan harapan dapat menggerakkan agenda baharu ini ke hadapan.

“Kita mahu pelajar boleh bekerja di peringkat antarabangsa serta dapat meningkatkan keupayaan keusahawanan dalam kalangan pelajar dan kerja-kerja kesukarelawanan juga hendaklah berbentuk antarabangsa,” katanya.

Beliau hadir dalam siaran Bual Bicara UMP25 yang berlangsung secara dalam talian menerusi Facebook UMPMalaysia dan UMPTV.

Turut sama ialah Pengarah Pusat Hal Ehwal Korporat dan Kualiti, Profesor Madya Dr. Kwok Feng Chong dan Dekan Fakulti Pengurusan Industri, Dr. Mohd. Hanafiah Ahmad yang bertindak sebagai moderator dalam sesi ini.
 

Pelan Strategik UMP 25 sasar 6 objektif tingkat kebolehan teknikal negara

Berkongsi perkembangan universiti, walaupun berdepan dengan cabaran terutamanya semasa pandemik COVID-19, program pengantarabangsaan berjaya dilaksanakan melibatkan enam program hasil kerjasama antarabangsa yang menyumbang terhadap pembangunan teknikal negara.

Ia melibatkan tiga program hasil kerjasama Beijing Jiaotong University (BJTU) China dalam program dual ijazah UMP-BJTU dan tiga program dual ijazah dengan Karlsruhe University of Applied Sciences (HKA) yang kini menjangkau sepuluh tahun kerjasama dalam melahirkan graduan kejuruteraan yang kompeten bertaraf antarabangsa.  

“Dalam bidang penyelidikan, Made in UMP dapat diterjemahkan sebagai kebolehan teknikal terhadap solusi penyelesaian di peringkat antarabangsa.

“Sebagai contoh, penerokaan peluang pengkomersialan produk cecair baja organik dengan prebiotik yang dinamakan Pre-Pecto pada skala besar yang dihasilkan pensyarah UMP mendapat kepercayaan pihak Syarikat Agrico For Agricultural Development, Qatar (Agrico) yang merupakan sebuah syarikat pembekal sistem dan hasil tanaman menggunakan kaedah rumah hijau (green house) di Doha, Qatar.

“Begitu juga dengan kejayaan pensyarah UMP yang telah berjaya mengkomersialkan harta inteleknya iaitu dua paten yang dijual kepada syarikat antarabangsa, Eastern Unity Technology (M) Sdn. Bhd. dengan harga jualan RM1.3 juta,” katanya.

Ia seiring dengan konsep perniagaan, pengkomersialan dan keusahawanan ke arah pengantarabangsaan. Jelas beliau lagi, setiap warga universiti juga hendaklah memberi tumpuan terhadap usaha memfokuskan projek dalam menyelesaikan masalah dunia dengan idea-idea baharu.

Beliau juga mengharapkan agar dapat membina ekosistem universiti ini dengan semangat perpaduan, menyelesaikan masalah masyarakat, membanyakkan pembacaan dan sentiasa berkongsi pengetahuan dan mengamalkan budaya kerja berpasukan.

Bertemakan ‘Mencapai Kegemilangan’, Pelan Strategik UMP25 akan menjadi kerangka strategik bagi UMP meneruskan kecemerlangan ke arah merealisasikan visi UMP sebagai Universiti Teknologi Terunggul menjelang tahun 2050.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit