Skip to main content

Penerbit UMP rai Sidang Editor Jurnal

PEKAN, 31 Mac 2021 - Buat julung kalinya, Penerbit Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan Majlis Apresiasi Sidang Editor Jurnal di Executive Lounge, Perpustakaan UMP, Pekan bagi merai dan menghargai para editor yang bertungkus-lumus dalam memastikan jurnal UMP kekal dan diterbitkan secara berterusan.

Pengarah Penerbit UMP, Muhammad Azli Shukri berkata, kerja sebagai seorang editor bukannya mudah; ia tidak dibayar imbuhan dan banyak masa dikorbankan dalam menerbitkan Jurnal UMP ini.

“Pada tahun ini, Jabatan Penyelidikan dan Inovasi (P&I) dan Penerbit UMP berusaha untuk merangka pelan strategik yang lebih komprehensif bagi membentuk ekosistem penerbitan jurnal yang lebih baik, mantap dan berkualiti.

“Pelan yang akan datang, Penerbit UMP akan terus memastikan program dijalankan secara berterusan. 

“Antaranya ialah menganjurkan Bengkel Audit Pemantapan Jurnal, perkongsian secara maya bertajuk Managing Scholarly Journals: What Editors Should Know Series 1 and 2 bersama Profesor Dato’ Dr. Roslan Abd Syukor dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Profesor Madya Ts. Dr. Amir Khalid dari Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), Bengkel Pengindeksan Jurnal oleh Noor Hapipah Samat, Pengarah Bahagian Sitasi dan Infometrik, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Bengkel Open Journal System (OJS) oleh Dr. Mohd Hasnun Arif Hassan, Penyelaras OJS UMP dan Bengkel Kompetensi Editor Jurnal UMP,” katanya.

Hadir merasmikan majlis ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli.

Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli, dalam ucapannya turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua Sidang Editor Jurnal UMP atas sumbangan dalam menjayakan penerbitan Jurnal UMP.

“Sumbangan dan komitmen ini ternyata tidak dibayar dan para editor perlu berkerja lebih masa di samping tugas hakiki sebagai pensyarah.

“Kita juga akan memperkasakan digitalisasi iaitu semua jurnal diterbitkan secara dalam talian.

 “Harapan saya agar selepas empat tahun, setiap artikel dalam Jurnal UMP ini akan diindeks dalam SCOPUS,” katanya.

Beliau turut menasihatkan agar berhati-hati apabila menerbitkan artikel di dalam jurnal-jurnal yang mengelirukan.

Pada masa yang sama, Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi turut menyampaikan sijil penghargaan dan cenderamata kepada semua Editor yang terlibat dalam penerbitan Jurnal UMP.

Penerbit UMP rai Sidang Editor JurnalPenerbit UMP rai Sidang Editor Jurnal

Disediakan Oleh: Safriza Baharuddin, Penerbit UMP

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Safriza binti Baharuddin