Skip to main content

Pertandingan ICe-CInno Pupuk Minat Pelajar dalam Inovasi Teknologi Komputer

Kuantan, 25 September- Bermula dengan kelas robotik pada musim cuti sekolah, pelajar tahun 4 Sekolah Kebangsaan Tok Sira Kuantan iaitu Ahmad Fahim Luthfi Mohamad Safri, 10 tahun  dinobatkan menerima Anugerah Khas (kategori sekolah rendah) apabila hasil ciptaan “Happy Dustbin” (Movable Dustbin Driven by Robotic Car) menang pingat emas dan mencuri tumpuan juri dalam pertan­dingan International Competition and Exhibition on Computing Innovation  (ICe-CInno) anjuran  Fakulti Komputeran, Kolej Komputer & Sains Gunaan Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang berlangsung di Kompleks Sukan, UMP kampus Gambang baru-baru ini.

Anugerah khas bagi kategori sekolah menengah pula dimenangi oleh SMK Bandar Uda Utama dengan tajuk “Lord of Lock” dan kategori Institusi Kemahiran dan Prasiswazah telah dimenangi oleh Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah dengan tajuk “E-Commerce site for electrical services”.

Manakala anugerah khas bagi kategori universiti (Pascasiswazah) diraih siswazah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan tajuk “Ontology Model in Analyzing Ethical Issues based on ibnu Khalduns Thoughts” dan bagi Anugerah kategori terbuka telah dimenangi oleh Saif Studio dengan tajuk “ERP School”. Anugerah Khas Alumni UMP telah dimenangi oleh Politeknik Muadzam Shah dengan penyelidikannya “Fish Feecer Monitoring Android Application.”

Pertandingan menyaksikan sebanyak 58 hasil  penyelidikan dipamerkan melibatkan penyertaan daripada pelajar sekolah dn institusi pendidikan tinggi. Majlis dirasmikan oleh Naib  Canselor UMP, Prof. Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff yang turut dihadiri Dekan Kanan Kolej Komputer dan Sains Gunaan, Prof. Madya Dr. Ruzaini Abdullah Arshah dan  pengarah program ICe-CInno, Dr. Noorhuzaimi @ Karimah Mohd Nor.

Menurut Prof. Ir. Dr. Wan Azhar berkata, pertandingan ini berjaya menarik minat generasi hari ini dan melahirkan penyelidik muda bermula dari peringkat sekolah, kolej, politeknik serta universiti dalam menyalurkan idea kreatif dan inovatif bagi menghasilkan inovasi berasaskan teknologi komputer.

“Inovasi berasaskan komputer ini bersifat universal yang mana ianya menjangkaui bidang kejuruteraan, sains dan sains sosial. Ianya bertepatan dengan keperluan negara berdepan dengan era Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0) dalam meningkatkan produktiviti dan kecekapan seiring transformasi digital,” katanya.

Begitu juga dengan keperluan terhadap teknologi robotik, objek rangkaian internet (IoT), kepintaran buatan (AI), data analitik, pemprosesan imej, perisian, sistem komunikasi mudah alih dan integrasi sistem digital antara elemen baharu yang bakal berkembang pada masa depan.   

Penganjuran program ini merupakan platform terbaik dalam membudayakan inovasi dan memupuk kreativiti dalam kalangan pelajar, pendidik dan penyelidik melalui penerokaan bidang penyelidikan utama yang bukan sahaja dapat meningkatkan pengetahuan tetapi juga meningkatkan kualiti penyelidikan serta amalan semasa dalam industri.

Disediakan Nor Salwana Mohd. Idris daripada Bahagian Komunikasi Korporat.

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri