Skip to main content

PKRC Gambang kebersamaan UMP tangani Covid-19

KUANTAN, 1 Jun 2021 - Pemilihan Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang (UMP) sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) keenam di negeri ini adalah sebagai persediaan untuk menampung lebih ramai pesakit.

PKRC ini diwujudkan berikutan kapasiti wad di hospital adalah terhad untuk merawat pesakit Covid-19 yang berisiko rendah.

Justeru, pesakit yang tidak mempunyai sejarah penyakit kronik yang memerlukan rawatan rapi dan mampu menguruskan diri sendiri akan ditempatkan di sini.

Menurut Timbalan Pengarah Perubatan 2, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) merangkap Pengarah PKRC Gambang, Dr. Sarifuddin Saad yang mewakili kerajaan negeri Pahang, pihaknya menzahirkan ucapan terima kasih atas kebersamaan dan sumbangan besar UMP dalam usaha membantu menangani penularan wabak Covid-19 di negeri ini.

“Kemudahan di PKRC sentiasa diperbaharui bagi memberi keselesaan kepada pesakit, antaranya dengan menyediakan ruang solat, ruang riadah, ruang makan, dan meningkatkan capaian komunikasi dan internet.

“Kami juga berhasrat menjadikan PKRC Gambang yang terbaik dari segi kemudahan dan rawatan pesakit yang lebih holistik.

“Warga UMP tidak perlu bimbang apabila Kompleks Sukan UMP di Gambang dijadikan PKRC malah ia merupakan suatu sejarah bermakna dalam sama-sama menangani wabak Covid-19 di Pahang ini,” katanya.

Memahami kegusaran segelintir warga UMP, beliau menjelaskan setakat ini virus Covid-19 merebak melalui titisan cecair dari hidung dan mulut pesakit yang dijangkiti apabila mereka batuk, selesema, bersin atau bercakap.

“Titisan cecair ini boleh jadi partikel besar (droplet) atau partikel kecil (aerosol).

Aerosol boleh kekal di udara untuk tempoh yang lebih lama dan bergerak lebih jauh melebihi jarak 1 meter.

“Manakala droplet lebih berat dan biasanya akan jatuh dalam lingkungan jarak antara 1 hingga 2 meter,” katanya dalam sesi penerangan dalam program Webinar Bual Bicara PKRC yang bertajuk ‘PKRC Gambang@UMP: Apa Yang Kita Perlu Ambil Tahu?’ yang diadakan secara dalam talian baru-baru ini

Beliau yakin dengan lokasi PKRC yang berjauhan daripada bangunan-bangunan lain, wabak ini dapat dihindari daripada menular ke kawasan lain.

Katanya, semua pesakit akan dipastikan berada di dalam dewan PKRC sahaja dan sentiasa di bawah pengawasan petugas keselamatan.

“Kami akan berganding bahu dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memastikan keselamatan di PKRC.

“Selain itu juga, pelbagai kaedah keselamatan turut dilaksanakan sepanjang penggunaan dewan tersebut, seperti pemasangan kawat berduri, semua pintu dewan dikunci rapi, mengaktifkan kamera litar tertutup (CCTV), menyediakan pos kawalan statik dan pelbagai ciri-ciri keselamatan lagi bagi memudahkan kawalan pergerakan.

“Semua pesakit dan petugas hanya boleh berada di dalam kawasan yang dibenarkan sahaja dengan menggunakan laluan yang telah kita sediakan tanpa menggunakan laluan utama UMP,” ujarnya.

Beliau turut mengharapkan agar PKRC Gambang ini akan menjadi salah sebuah PKRC yang terbaik dan menjadi penanda aras kepada PKRC yang lain memandangkan kemudahan fasilitinya yang lengkap bagi membolehkan para pesakit menjalankan aktiviti riadah, kerohanian, ceramah motivasi dan sebagainya.

Ujarnya, setiap PKRC memang berbeza kerana ia berdasarkan fasiliti yang terdapat di dalam sesebuah PKRC itu sendiri.

“Selagi ia tidak mendatangkan risiko yang besar kepada pesakit, kami tidak menghalang pesakit untuk menjalankan aktiviti di dalam PKRC malah merasakan ia akan mempercepatkan proses pemulihan pesakit tersebut.

“Saya yakin, apabila mereka keluar dari PKRC Gambang ini nanti mereka akan gembira dan menjadi kenangan manis kepada pesakit,” ujarnya.

PKRC Gambang yang beroperasi sejak 1 Jun itu mampu menempatkan sehingga 1,380 orang pesakit lelaki warganegara Malaysia dengan penempatan permulaan seramai 12 orang pesakit.

Program yang dijalankan menerusi platform Microsoft Team dan siaran langsung di Facebook SUARA Komuniti UMP itu telah disertai lebih 100 orang warga UMP. Ia dikendalikan oleh Pengurus, Jabatan Pendaftar merangkap Pegawai Perhubungan (Liaison Officer) Jawatankuasa Bertindak Bencana UMP, Mohd. Raizalhilmy Mohd. Rais yang bertindak sebagai moderator.

UMP juga merupakan antara 19 buah universiti yang dikenal pasti untuk dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sebagai usaha menyediakan akses yang lebih banyak kepada rakyat mendapatkan suntikan vaksin ini.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris