Skip to main content

PLPU santuni warga kampus UMP imarahkan Ramadan

PEKAN, 13 April 2022 - Sebanyak 1,400 bungkus juadah berbuka puasa disediakan untuk pelajar Universiti Malaysia Pahang (UMP) pada setiap hari sejak 1 Ramadan lalu. 

Berbeza sebelum ini, tradisi iftar dalam talam di kampus tinggal kenangan lanjutan berikutan pematuhan terhadap SOP. 

Diselaras di bawah Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN), sukarelawan UMP yang terdiri dalam kalangan staf tetap turun padang bagi menyediakan persiapan memasak mengikut giliran jabatan pada setiap hari. 

Baru-baru ini, Pengerusi Lembaga Pengarah UMP, Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz Abdul Rahman hadir menyantuni petugas menyediakan juadah iftar dan memasak bubur lambuk untuk diedarkan kepada warga kampus. 

Menurut Tan Sri Dato’ Sri Dr. Abdul Aziz, pihak pengurusan universiti menghargai komitmen petugas yang dapat sama-sama menyumbang tenaga menjayakan program setiap kali menjelang Ramadan. 

PLPU santuni warga kampus UMP imarahkan Ramadan

“Pada kali ini lebih bermakna setelah dua tahun tidak dilaksanakan disebabkan penukaran wabak COVID-19,” ujarnya. 

Malahan beliau juga tetap mengingatkan agar sentiasa menjaga keselamatan dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP). 

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Yayasan UMP berkata, pihak PIMPIN akan meneruskan penyediaan dan pengagihan Iftar Ramadan kepada pelajar UMP di kampus Pekan dan Gambang sepanjang Ramadan ini. 

“Sebanyak RM170,000 sumbangan disasarkan bagi penyediaan juadah iftar secara percuma sepanjang bulan Ramadan kali ini,” katanya yang hadir bertemu dengan staf Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta (PPPH) menyediakan menu istimewa resepi Bubur Lambuk Enam Rasa dan opor daging. 

Turut serta Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin, Pendaftar UMP, Saiful Bahri Ahmad Bakarim, Pengarah PIMPIN, Profesor Madya Dr. Rashidi Abas dan Pengarah PPPH, Izwan Ismail. 

Dalam pada itu, Tan Sri Dato’ Sri Abdul Aziz turut menyampaikan sumbangan Yayasan UMP buat pelajar yang tinggal di luar kampus. 

Pada sebelah malamnya, beliau berpeluang berbuka puasa bersama pemimpin pelajar dan pengurusan universiti. 

Pelbagai program berlangsung dalam merancakkan bulan Ramadan antaranya program Ketuk-ketuk Sahur, Majlis Khatam Quran Hour, Ceramah Nuzul Quran, Kem Hafiz Ramadan, tarawih dan tadarus. 

Bagi yang ingin menyumbang ke Tabung Ramadan boleh membuat sumbangan ke Akaun Yayasan UMP: 556235317085 (Maybank) Rujukan: Ramadan 2022 atau Tabung Ramadan di Masjid UMP Pekan dan UMP Kampus Gambang. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit Daripada Unit Komunikasi Korporat Pejabat Naib Canselor 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit