Skip to main content

Prof. Dato’ Ts. Dr. Yuserrie dilantik Naib Canselor UMP ke-5

PEKAN, 1 Mac 2022 - Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, 60, dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkuat kuasa 1 Mac 2022.

Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial dari Universiti Sains Malaysia (USM) sebelum menyambung pengajian dalam bidang Perdagangan di University of Wollongong, Australia pada tahun 1992.

Beliau juga memiliki Ijazah Kedoktoran dalam bidang Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1997.

Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP sejak 29 Ogos lalu juga mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan apabila telah dilantik selama 11 tahun sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).

Ini menjadikan aktiviti kesukarelawanan menjadi agenda penting universiti dalam melahirkan pelajar yang berketerampilan dan warga UMP yang prihatin seiring dengan slogan UMP ‘Teknologi untuk Masyarakat’.

Beliau yang mula berkhidmat di UMP pada tahun 2009 juga pernah memegang jawatan sebagai Dekan Institut Pengajian Siswazah (IPS) pada tahun 2010.

Sebelum itu, Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie telah berkhidmat selama 11 tahun di USM.

“Saya mengharapkan agar warga UMP dapat bersama-sama menjalankan aktiviti yang telah dirancangkan untuk memastikan Pelan Strategik UMP 2021-2025 (UMP25) dapat dilaksanakan dan dicapai dengan baik,” katanya sewaktu hadir di Bangunan Canseleri Tun Abdul Razak, UMP Pekan pagi ini.

Ketibaan beliau disambut oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Kamal Zuhairi Zamli, Pendaftar/Ketua Pegawai Operasi, Hazmin Aris dan Bendahari, Zainuddin Othman.

Selain itu, beliau turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) atas pelantikan ini dan kepada Profesor Dr. Wan Azhar Wan Yusoff yang telah menunjukkan kepimpinan serta prestasi yang baik dalam menerajui UMP sebagai Naib Canselor keempat.
 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit