Skip to main content
Program Advokasi Kepenggunaan  beri pendedahan kepada golongan B40

Program Advokasi Kepenggunaan beri pendedahan kepada golongan B40

Kuantan, 20 Februari – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Persatuan Ekonomi Pengguna dan Keluarga Malaysia (MACFEA) dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan program Advokasi Kepenggunaan membabitkan penyertaan daripada Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan komuniti setempat dalam program yang berlangsung di Auditorium Perpustakaan, UMP Kampus Gambang.

Program yang mensasarkan pengguna dalam kalangan keluarga B40 diadakan bagi memberi pendedahan dan kesedaran mengenai inisiatif sedang dilaksanakan pihak KPDNHEP terutamanya Program Bank Makanan (Food Bank) dan penipuan di atas talian (Online Cheating). Program ini juga diharapkan dapat membantu golongan B40 dan penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dalam menangani cabaran kos sara hidup yang semakin meningkat dewasa ini.

Hadir merasmikan program Dekan Perkhidmatan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA), Prof. Madya. Dr. Mansor Sulaiman. Turut hadir Pengarah Pusat Jaringan Industri & Masyarakat, Prof. Madya. Dr. Nurul Hazlina Noordin, Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP, Wan Isa Wan Harun dan Dr Irwan Syah Mohd Yusoff mewakil MACFEA.

Menurut Prof Madya Dr. Mansor, penganjuran program ini dilihat suatu usaha positif dalam memastikan ilmu pengetahuan yang disampaikan menerusi ceramah dapat digunakan dengan penuh manfaat bagi menangani isu-isu yang berkaitan di samping memberi kesedaran dalam meneruskan kehidupan dalam suasana selamat, aman, sejahtera dan harmoni.

“Kita harap pendedahan ini dapat membantu golongan B40 supaya dapat menjadi pengguna yang bijak yang mampu melakukan perlindungan kendiri di samping tidak menambahkan beban masing-masing baik dari segi ekonomi ekoran mudah terpengaruh dengan kandungan iklan yang dipaparkan melalui media sosial,’ ujarnya.

Selain itu, inisiatif kerajaan melalui Program Bank Makanan dilihat dapat meringankan kos sara hidup rakyat yang mana lebihan makanan yang diterima akan disalurkan kepada kumpulan-kumpulan sasar dan rumah kebajikan yang berdaftar. Ujarnya, setakat ini difahamkan seramai 186,354 ketua isi rumah yang berada di bawah paras garis kemiskinan di seluruh negara.

Melalui ‘Campus Pantry’ ini seramai 1,400 orang pelajar B40 telah menerima manfaat yang melibatkan 8500 unit makanan diagihkan melalui rakan penaja. Antara rakan penaja ialah Tunas Manja Group, 99 Speedmart Sdn. Bhd., Adabi Kuantan Distribution Sdn. Bhd., Palma Unggul Enterprise, Hock Ho Hiap Kee Oil Mill Sdn. Bhd., Nurfirman Sdn. Bhd., Nirwana Group,  Gardenia Bakeries (KL) Sdn. Bhd., Legasi Z Sufi Marketing dan Syarikat Gean Ming Sdn. Bhd.

Dalam pada itu, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak berkuasa dalam mengekang jenayah seumpama ini termasuk meningkatkan penguatkuasaan undang-undang, pengoperasian, tangkapan dan pendakwaan ke atas mereka yang terbabit terlibat dalam aktiviti penipuan. 

Turut berlangsung majlis penyampaian hadiah bagi Pertandingan Video Kreatif sempena Program Advokasi Kepenggunaan ini. Dengan Tema Food Bank , Wong Shu Jie dinobatkan juara yang berjaya membawa pulang wang tunai bernilai RM500.00.  Manakala Noor Maizatul Masliza Norman dan Nurain Solehah Mohd Zulkifli telah memenangi tempat kedua yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM400.00. Tempat ketiga dengan Tema Beware Of Online Cheating telah dimenangi oleh Nor Najiatul Munirah Mazlan dan Nur Alia Mohd Jamil.

Disediakan oleh Siti Nurfarmy Ibrahim daripada Unit Perhubungan Awam Pejabat Naib Canselor.

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri