Skip to main content

Program Amal Rimau Virtual Challenge kumpul dana Tabung Wakaf

PEKAN, 22 Ogos 2021 - Yayasan UMP menganjurkan Program Amal Rimau Virtual Challenge 2021 bagi mengumpul dana Tabung Wakaf Kolej Kediamanan Mawaddah dan endowmen Universiti Malaysia Pahang (UMP).

Menurut Ketua Eksekutif Yayasan UMP, Mohd Jamil Mohd Jaafar, Yayasan UMP sentiasa berusaha untuk mencari dana bagi Yayasan UMP termasuklah untuk Tabung Wakaf Kolej Kediamanan Mawaddah dan disalurkan kepada yang memerlukan.

Tambahnya lagi, pencarian dana ini juga tertumpu kepada pembinaan wakaf Kolej Kediaman Mawaddah iaitu kolej yang akan menempatkan seramai 220 orang pelajar asnaf dan miskin di UMP kelak.

“Ia dibangunkan di atas sebidang tanah seluas 2.0 ekar di UMP Kampus Pekan dengan kos pembinaan berjumlah RM5 juta dan dijangka siap pada Januari 2022.

“Sehingga kini, jumlah dana terkumpul adalah sebanyak RM1,544,156.00 dan UMP masih memerlukan dana sebanyak RM3.45 juta bagi pembinaan ini.

“Pihak pengurusan universiti mengucapkan penghargaan kepada penyumbang yang telah menghulurkan sumbangan bagi pembinaan Kolej Kediaman Mawaddah ini,” katanya.

Ujarnya lagi, sempena bulan kemerdekaan ini, Program Amal Rimau Virtual Challenge 2021 merupakan salah satu program yang bukan sahaja untuk mengumpulkan dana tabung ini tetapi memupuk sikap amalkan gaya hidup sihat.

“Walaupun kita berada dalam situasi pandemik COVID-19, namun senaman merupakan salah satu aktiviti yang dapat mengekalkan tahap kesihatan individu.

“Cabaran ini amat mudah dilakukan. Peserta hanya perlu melakukan acara senaman seperti berjalan, berjoging, berlari, ataupun berbasikal.

“Pendaftaran bagi cabaran ini bermula pada 15 Julai 2021 hingga 29 Ogos 2021,” katanya.

Tambahnya, aktiviti pula akan bermula pada 30 Ogos 2021 hingga 30 September 2021 dengan jarak sejauh 30 km.

“Program ini terbuka kepada semua warga Malaysia dan setiap penyertaan akan dikenakan yuran sebanyak RM60.00 manakala RM10.00 bagi urusan pengeposan.

“Lebih menarik, setiap peserta akan memperoleh pingat dan baju sebagai kenang-kenangan.

Bagi yang berminat untuk mengambil bahagian boleh menghubungi urus setia atau mengisi borang permohonan di pautan berikut https://bit.ly/3r912Mq atau melayari Facebook Yayasan UMP.

Disediakan oleh: Nor Salwana Mohd Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor 
 

Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris