Skip to main content

‘Projek Dapur Kita’ bantu mahasiswa UMP

PEKAN, 7 Januari 2022 - Sebanyak 600 keping roti canai berjaya diedarkan secara percuma kepada mahasiswa Universiti Malaysia Pahang (UMP) dalam program Projek Dapur Kita Mahasiswa UMP Bantu Mahasiswa sekitar Residen Pelajar Dhuam, Pekan dan  Masjid UMP Gambang.

Lebih menariknya ia dihasilkan sendiri oleh sukarelawan UMP daripada Skuad Yayasan UMP yang turut membantu bermula dari mengumpul dana, penyediaan adunan, menebar roti canai dan mengagihkan kepada mahasiswa UMP.

Bagi Pengurus Projek Pekan yang juga merupakan pelajar tahun dua Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Muhammad Hisammudin Abdul Halim berkata, percubaan pertamanya berhasil dan merupakan pengalaman berharga buatnya dan sukarelawan lain yang mula belajar menebar roti canai pada pagi ini.

“Projek ini adalah platform kepada orang ramai untuk sama-sama berkongsi dalam membantu mahasiswa dan mereka yang memerlukan.

“Inisiatif murni ini digerakkan oleh 20 sukarelawan dalam usaha membantu mengurangkan perbelanjaan harian mahasiswa selain membolehkan mereka mendapatkan sarapan pagi sebelum memulakan sesi kuliah hari ini.

“Selain itu, inisiatif ‘Projek Dapur Kita’ ini dapat mengeratkan lagi silaturahim dalam kalangan mahasiswa UMP itu sendiri. 

“Dengan sambutan dan sokongan yang diterima sangat menggalakkan, pihaknya akan meneruskan program ini pada masa akan datang,” katanya yang giat menjalankan program di bawah Yayasan UMP

Sementara itu, Ketua Eksekutif Yayasan UMP, Mohd Jamil Mohd Ja’afar menghargai komitmen sukarelawan Skuad Yayasan UMP yang sentiasa memberi sokongan dalam semua program anjuran Yayasan UMP.  

“Program ini adalah hasil idea daripada mahasiswa sendiri yang cakna terhadap kebajikan mahasiswa dan pelbagai program dirancang akan dilaksanakan sepanjang tahun ini.

“Dalam pada itu, menerusi penganjuran Tok Gajah Virtual Challenge 2021, pihaknya telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila berjaya mengumpul kutipan keseluruhan sebanyak RM85,029.00. 

“Pada tahun ini, Yayasan UMP bakal menganjurkan Rusa Virtual Run 2022 dan Jerung Virtual Run 2022 yang merupakan salah satu aktiviti dalam mengumpulkan dana di samping memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan warga kampus dan masyarakat setempat,” katanya. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC)

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit