Skip to main content

Sayangi Negara, Hargai Nilai Patrotisme Tulen

Kuantan, 26 Ogos-. Rakyat Malaysia perlu memiliki semangat patriotisme tulen yang cintakan negara dan akan membuat apa sahaja sama ada berkaitan kefahaman atau pegangan atau kepercayaan demi mempertahankan  negara.

Dalam konteks negara Malaysia yang mempunyai rakyat yang berbilang bangsa dan kaum amat penting mempunyai semangat patrotisme, semangat bangga sebagai rakyat Malaysia dan menanam sikap setia kepada negara.

Menjadi penting untuk kita memahami sistem pentadbiran negara dan mempunyai perasaan sayangkan negara perlu ada kepada setiap rakyat, perasaan kekitaan, kesefahaman, kesetiaan kepada negara dan menghormati pemimpin, raja-raja juga berdisiplin dalam menjaga nama baik negara.

Menurut bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata jika sayangkan negara kita perlu menjalankan tanggungjawab dan tugas seperti meningkatkan produktiviti negara dengan cara mendidik anak bangsa menjadi warga terbaik sehingga boleh melahirkan pemimpin masa depan.

“Patrotisme wujud dengan dedikasi dan pengorbanan seumur hidup untuk negara. Ianya boleh mewujudkan semangat kekitaan yang boleh menyatu padukan rakyat. Kita ingin melihat rakyat bersatu padu dan bersama-sama menghormati satu sama lain serta hidup aman damai dalam negara,” katanya.

Ujarnya, setiap tahun kita akan meraikan sambutan kemerdekaan dan simboliknya kita akan mengibarkan bendera dan menyanyikan lagu patrotisme beramai-ramai, namun belum tentu mereka ini mempunyai semangat patrotisme. Kita perlu berani bersuara dan menyumbang idea atau pendapat dengan ikhlas yang boleh membawa kebaikan. Selain itu, penghayatan terhadap erti kemerdekaan turut menuntut warganya untuk mengenali sejarah negara.

Bagi Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS), Profesor Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, Perlembagaan Persekutuan merupakan satu dokumen yang mengimbangi kedudukan kaum majority pribumi dan kaum minoriti yang lain. Rahsianya ialah `tolak ansur’ iaitu memberi dan menerima (give and take), bebas dari ideologi dan pegangan agama yang ekstrem.

“Ini adalah tujuan sebenar kehendak penggubal Perlembagaan dan nenek moyang  kita yang mahukan setiap individu di Malaysia dapat menikmati kehidupan aman, damai dan tenteram. Ianya menyaksikan semua kaum daripada pelbagai latar belakang agama dan etnik mendapat habuan masing-masing. Semangat toleransi yang tinggi dan penerimaan kontrak sosial oleh tiga etnik terbesar dan enik kecil yang lain serta etnik di Sabah dan Sarawak sebenarnya lahir dari pendekatan kekitaan yang sekian lama diwarisi dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Program anjuran Pejabat Naib Canselor dan  Persatuan  Kakitangan Akademik UMP (Pakad) turut dihadiri Naib Canselor UMP, Prof Ir. Dr Wan Azhar Wan Yusoff dan Timbalan Ketua Polis Pahang, Dato’ Mohd. Yusri  Hassan Basri.  Bicara Cendekiawan Mulia bertajuk “Malaysia Baharu: Patrotisme Tulen atau Retorik Politik?” dikendalikan Dr. Munira Abdul Razak yang merupakan Pensyarah Pusat Sains Kemanusiaan bertindak sebagai moderator dalam program yang berlangsung di  Dewan Astaka UMP Gambang.  

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri