Skip to main content

Sebar luas peluang Jom Masuk UMP

KUALA LUMPUR, 12 Disember 2021- Universiti Malaysia Pahang (UMP) menawarkan peluang buat bakal pelajar mendapatkan informasi pengajian tinggi dalam program Program Jom Masuk IPT 2021 bersempena Showcase 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) selama tiga hari sejak 10 Disember 2021 lalu.

Bakal pelajar dan ibu bapa berpeluang mengikuti  talkshow, konsultasi bersemuka, pameran pendidikan dari Universiti Awam (UA), Institusi Pendidikan Tinggi Swasta terpilih.

Menurut Pengarah Pusat Pemasaran dan Kemasukan Akademik (PPKA), Helmi Mohamed Isa, pihaknya giat menyalurkan maklumat untuk sesi kemasukan kedua Semester II Sesi Akademik 2021/2022.

“Program ini memberi peluang kepada calon pelajar mendapatkan konsultasi secara bersemuka bersama petugas UMP dan mengetahui lebih lanjut mengenai program yang ditawarkan, syarat kemasukan, pembiayaan biasiswa, yuran, fasiliti dan lain- lain lagi,” katanya.

UMP menawarkan 23 program sarjana muda bagi program prasiswazah bagi semester II Sesi Akademik 2021/2022 dan Semester I Sesi Akademik 2022/2023 pihak universiti menawarkan lapan program diploma dan 42 program sarjana muda.

Manakala calon pelajar yang berminat menyambung pengajian dalam Program Pascasiswazah terdapat pelbagai bidang yang ditawarkan untuk Semester II Sesi Akademik 2021/2022 dan Semester I Sesi Akademik 2022/2023.

Pihak urus setia utama Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyasarkan pengunjung seramai 20,000 orang secara fizikal manakala 100,000 mengikuti secara virtual.

Mendepani norma baharu, pihaknya turut menganjurkan program virtual Jom Masuk IPT, Siri Facebook Live bersama Dekan Kanan Kolej untuk program prasiswazah dan program pemasaran bersama Kolej Matrikulasi/Politeknik dan sekolah. 

Lain-lain program adalah Postgraduate Open Day, GMI Talk, QS Study dan Education Malaysia Global Services (EMGS).

Program Jom Masuk IPT 2021 itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Dalam pada itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad turut hadir berkunjung ke reruai (booth) UMP diiringi Profesor Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP. 

Maklumat lanjut pengajian boleh melayari https://admission.ump.edu.my bagi memilih program pengajian di UMP. 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit