Skip to main content

Semangat kemerdekaan pupuk perpaduan

PEKAN, 20 Ogos 2021 - “Kita perlu bersyukur dengan anugerah kemerdekaan ini dan kita perlu berganding bahu bagi mengekalkan kemerdekaan.

“Perpaduan merupakan tonggak utama dalam kehidupan kita pada hari ini yang perlu dikekalkan dan dipupuk demi kemakmuran negara.

“Kita perlu bersatu hati dalam melakukan tugas terutama dalam menerajui universiti ini,” ujar Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff.
 
Beliau menyampaikan ucapan ketika melancarkan Sambutan Bulan Kebangsaan peringkat UMP anjuran Jabatan Pendaftar menerusi dalam talian yang disiarkan secara langsung dalam Facebook UMPMalaysia baru-baru ini.
 

Semangat kemerdekaan pupuk perpaduan

Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan agar warga UMP bersatu hati dan mempunyai semangat menyayangi serta menghormati antara satu sama lain.

“Dengan semangat ini, kita perlu ‘Bergerak Bersama’ dalam mencapai hala tuju dan cita-cita yang sama untuk kejayaan serta kecemerlangan universiti.

Profesor Ir. Dr. Wan Azhar mengucapkan terima kasih kepada semua warga UMP yang kekal semangat menyambut kemerdekaan biarpun berlangsung dalam suasana negara dan dunia masih berdepan dengan ancaman pandemik COVID-19.
 
Pada masa yang sama turut diadakan sesi perkongsian ilmu yang bertajuk ‘Kemerdekaan dan Kebangsaan’ oleh Pengarah Institut Tamadun dan Kajian Strategik (ITKAS) UMP, Dato’ Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.

Hadir sama ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesot Dato’ Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd Rosli Hainin dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli. Program itu dihadiri hampir 500 orang warga UMP.

Warga UMP juga digalakkan untuk memasang Jalur Gemilang dan bendera negeri Pahang di premis masing-masing bagi menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan.

Sepanjang bulan kemerdekaan ini, UMP menganjurkan pelbagai program antaranya Pertandingan Infografik Merdeka, Pertandingan Fotografi Klik@Merdeka, Pertandingan Kereta Berhias, Wacana Merdeka ITKAS: Kepimpinan Tun Abdul Razak dan Masa Depan Malaysia, Jom Tanya Pakar Kemerdekaan dan Inspirasi Merdeka.

Disediakan oleh: Nor Salwana Idris, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor (PNC) 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris