Skip to main content

Semangat patriotik dan bekalan ilmu Pegawai Kadet Kor SISPA siap sedia

PAYA BESAR, 7 November 2021 - Semangat patriotik dan bekalan ilmu yang dipelajari memberi keyakinan buat pegawai kadet Universiti Malaysia Pahang (UMP), Siti Nuratiqah Syafiqah Muhamad Haslizan untuk terus bersiap sedia berkhidmat menyumbang bakti buat masyarakat dan negara.

Beliau merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan Kimia Industri dengan Kepujian yang dinobatkan sebagai Pegawai Kadet Terbaik UMP bersempena Majlis Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Peringkat Kebangsaan Kali Ke-12 Tahun 2021 baru-baru ini.

Berasal dari Kuantan, anak kedua daripada enam beradik ini mula menyertai badan beruniform sejak di awal persekolahan dengan menyertai Kadet Polis.

Meneruskan minat ini, beliau menyertai Kor SISPA setelah menyambung pengajian diploma di UniKL Melaka sebelum meneruskan pengajian di UMP.

Katanya, banyak ilmu yang dipelajari bukan sahaja dalam kehidupan seharian malahan dapat membantu insan lain terutamanya mengenai ilmu pertolongan cemas seperti resusitasi kardiopulmonari (cardiopulmonary resuscitation, CPR) yang boleh menyelamatkan nyawa dengan membantu penerusan bekalan oksigen ke otak sehinggalah pesakit diberikan rawatan yang lebih spesifik.

Siti Nuratiqah berkongsi kisah sewaktu menyelamatkan anak saudaranya yang mengalami insiden tercekik makanan dan dengan ilmu yang diperoleh dalam kursus yang dihadirinya berjaya membantu orang lain.

Ujarnya, bagi segelintir orang, tercekik bukanlah perkara besar yang perlu diambil perhatian, malah dianggap berlaku disebabkan kecuaian semata-mata.

“Namun sedar atau tidak, tercekik sebenarnya boleh membawa maut dalam sekelip mata,” ujarnya.

“Tidak dapat dinafikan bahawa saya dan rakan-rakan Kor SISPA yang lain perlu sentiasa peka dan responsif kepada bencana dan kecemasan terutamanya ketika berdepan situasi cemas termasuk kebakaran, kemalangan atau saat sukar.

Sepanjang penyertaannya dalam Kor SISPA UMP, beliau banyak melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti anjuran Kor SISPA.

Antaranya ialah Pascabanjir di Alor Gajah, Melaka dan menjadi Ahli Jawatankuasa (AJK) Mesyuarat Ajutan Kor SISPA.

Selain itu, beliau juga merupakan Ketua AJK Penginapan, Jemputan dan Jamuan Majlis Pentauliahan Kor SISPA Peringkat Kebangsaan Kali Ke-2 Tahun 2021.

Sementara itu, Farina Wan Adnan yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia dengan Kepujian UMP turut berkongsi pengalamannya sewaktu menjalankan tanggungjawab sebagai Ketua Sekretariat di peringkat universiti bagi membantu memastikan majlis pentauliahan yang menyaksikan UMP sebagai tuan rumah berjalan lancar baru-baru.

Farina yang telah ditauliahkan sebagai Leftenan Muda sejak tiga tahun sewaktu mengikuti pengajian diploma di UniKL memilih untuk meneruskan penglibatan dalam Kor SISPA di UMP.

“Banyak peluang dan pengalaman kepimpinan dapat dipelajari dalam membentuk keperibadian pelajar terutamanya ketika berkomunikasi dengan pelbagai pihak,” katanya yang berkongsi pengalaman mengurus acara di peringkat kebangsaan.

Namun demikian, segala cabaran ini berjaya dihadapi dengan tenang hasil sokongan komandan Kor SISPA, pegawai universiti dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Nasihatnya, pencapaian dalam akademik, sikap amanah, berani dan kekuatan diri menjadi teras jati diri untuk membangunkan keupayaan kepimpinan dalam apa jua bidang yang diceburi.

Bagi Pegawai Kadet Terbaik Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Mohammad Firdaus Zolkefle yang mengambil bidang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab dengan Kepujian, penyertaan beliau dalam Kor SISPA banyak memberi peluang buatnya melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan Kor SISPA dan aktiviti anjuran universiti.

Manakala dari segi kepimpinan pula, beliau dilantik sebagai Jawatankuasa Program Asosiasi Kor SISPA UniSZA bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Langkawi pada tahun 2020.

Beliau juga turut menyandang jawatan sebagai Pengarah Kor SISPA atau Yang di-Pertua (YDP) Kor SISPA UniSZA.
Seramai 19 orang Pegawai Kadet Kor SISPA terbaik diumum bersempena Majlis Pentauliahan Kor Siswa Siswi Pertahanan Awam (Kor SISPA) Peringkat Kebangsaan Kali ke-12 Tahun 2021 anjuran UMP dengan kerjasama APM dan Bahagian Mahasiswa Holistik, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang berlangsung di Dewan Astaka UMP.

Ia melibatkan seramai 870 orang Pegawai Kadet Kor SISPA menerima pentauliahan sebagai Leftenan Muda (PA).
Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit Daripada Unit Komunikasi Korporat  Pejabat Naib Canselor 

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit daripada Unit Komunikasi Korporat,  Pejabat Naib Canselor

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit