Skip to main content

Sinergi UMP dan MRSM terhadap intelektual dan potensi pelajar

Pekan, 26 Oktober – Menyedari bahawa realiti semasa dan cabaran masa depan terhadap pembangunan potensi diri para pelajar, Universiti Malaysia Pahang (UMP) sentiasa terbuka menjalin kerjasama dengan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) bagi tujuan pembangunan akademik.

Menurut Naib Canselor UMP, Prof Ir Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, keterbukaan UMP dalam konteks sebagai sebuah gedung pengetahuan yang berwibawa turut berperanan sebagai institusi yang merakyatkan dan mampu memberi impak positif kepada pembentukan intelektual anak –anak didik di MRSM.

“Pertambahan bilangan MRSM di seluruh negara dalam aspek kepelbagaian pendidikan telah melebarkan lagi akses anak tempatan yang berpotensi kepada peluang pendidikan menengah yang sempurna dan cemerlang. 

UMP turut berbesar hati sekiranya MRSM turut serta merealisasikan aspirasi UMP ke arah sebuah Universiti Komuniti dan menjadi rakan sinergi UMP,” katanya yang hadir merasmikan Majlis Graduasi MRSM ke-10 di Dewan Serai Utama MRSM Tun Abdul Razak Pekan baru-baru ini. 

Sementara itu, Pengetua MRSM Tun Abdul Razak, Nik Jasmi Nik Yaacob berpuashati dengan pencapaian 108 pelajar  yang telah berjaya bergraduat dengan pencapaian 29 orang memperolehi Kelas Pertama, 48 orang memperolehi Kelas Kedua Atas dan 31 orang memperolehi Kelas Kedua Bawah. 

Beliau juga berharap semangat yang ditunjukkan ini berterusan dan berusaha dengan lebih gigih bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bakal bermula pada 5 November depan.

Majlis turut menyaksikan Nurul Adlina Shamsul Kamal dianugerahkan Tokoh Pelajar 2019. Selain itu, pelajar ini juga merupakan penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik bagi kategori perempuan dan Irfan Roslan bagi kategori lelaki. Manakala Muhammad Afiq Danial Izi Arman dan Puteri Irdina Sofea Jazlan Arif masing – masing menerima Anugerah Sahsiah Terpuji.

Hadir sama dalam majlis Pengarah MARA Negeri Pahang, Raja Sarimah Raja Jamaluddin dan Yang DiPertua Muafakat MRSM Tun Abdul Razak, Mohammad  Ismail.

Disediakan oleh Mohammad Hakimi Kamarudin daripada Bahagian Komunikasi Korporat. 

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri