Skip to main content

Staf UMP kongsi bakat dalam pengendalian dron

KUANTAN, 22 Mac 2021 – Kemahiran mengemudi alat kawalan pesawat model atau dron perlu mempunyai latihan yang secukupnya supaya dapat menghasilkan pemandangan rekreasi yang cantik sama ada dalam bentuk video mahupun gambar.

Dron atau lebih dikenali sebagai pesawat tanpa pemandu diterbangkan dengan menggunakan alat kawalan pengkomputeran yang dikemudikan oleh penggunanya dan menjadi pilihan rakyat di negara ini sebagai hobi pada waktu lapang.

Bagi penggemar permainan itu, Pemandu Kenderaan, Pusat Pembangunan dan Pengurusan Harta, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Zek Aman Abd Ghani, beliau meminati alat-alat pemainan kawalan ini sejak berusia sembilan tahun dan lebih mengejutkan beliau mampu mencipta sendiri dron untuk kepuasan bermain.

“Saya menghasilkan dron dengan menggunakan aluminium kerana materialnya lebih mudah didapati selain harga yang murah dalam pasaran.

“Setakat ini, saya telah menghasilkan dron yang bertujuan mengangkat bungkusan dan untuk pertanian,” katanya ketika ditemui dalam program perkongsian ilmu siri satu, Melihat dari Mata Burung: Asas Pengendalian Dron anjuran Penerbit Universiti Malaysia Pahang (UMP), di Kompleks Sukan UMP Kampus Gambang baru-baru ini.

Menurut Zek Aman untuk mengendalikan dron perlu memiliki permit daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan juga kebenaran pihak polis untuk melakukan aktiviti penerbangan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagaimanapun, untuk tujuan rekreasi diberi kebenaran selagi ia dijalankan di kawasan lapang, bukan tempat tumpuan ramai, kawasan bangunan, pokok-pokok dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, bagi Pereka, Penerbit UMP, Noor Azhar Abdul Rasid berkata, beliau menggunakan dron lebih kepada tujuan bekerja kerana perlu menghasilkan foto dan video yang cantik untuk dijadikan sebagai kandungan bahan terbitan Penerbit UMP.

“Apabila menggunakan dron, kita dapat merakam gambar secara panaroma iaitu keseluruhan pemandangan daripada atas berbanding kita berada di bawah. 

“Sudah tentu ia memberi kepuasan kepada saya dalam berkarya,” katanya.

Manakala menurut Pengarah Penerbit UMP, Muhammad Azli Shukri, program seumpama ini dianjurkan bagi memberi peluang kepada warga UMP yang berminat dengan permainan ini menimba ilmu selok-belok dalam mengendalikan dron.

“Insya-Allah, kita akan menganjurkan program ini secara bersiri sekali lagi dan akan memberi peluang kepada penggemar permaianan ini untuk hadir menyaksikan serta berpeluang merasai sendiri secara terus pada masa akan datang,” katanya.
 

Disediakan Oleh: Shalfarina Shahriman, Penerbit UMP

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Admin UMP News