Skip to main content

Sukarelawan UMP Kilau sertai inisiatif program tanam 1,000 pokok Rhu

KUANTAN, 13 Februari 2023 - Seramai 65 orang Sukarelawan Kilau Universiti Malaysia Pahang (UMP) menyertai Program Pembersihan Pantai dan Penanaman Pokok sempena Sambutan Hari Radio Sedunia anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) Pahang dengan inisiatif menanam 1,000 pokok Rhu di Pantai Kempadang, Kuantan.

Program dirasmikan oleh Ketua Pengarah Penyiaran, Radio Televisyen Malaysia, Suhaimi Sulaiman dan Pengarah Bahagian Program Radio Jabatan Penyiaran Malaysia, Nor’ain Bakir.

Turut serta Penolong Naib Canselor, Bahagian Kolaborasi Industri dan Masyarakat, UMP, Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Noordin, Timbalan Pengarah Perhutanan (Pembangunan), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, Dato’ Samsu Anuar Nawi, Pengarah SWCorp Pahang, Shahrudin Hamid dan Pengerusi JKKK Kampung Kempadang, Saaban Awang.
 

Sukarelawan UMP Kilau sertai inisiatif program tanam 1,000 pokok Rhu

Menurut Nor’ain Bakir, program ini turut melibatkan pelajar dan komuniti setempat untuk sama-sama berperanan dalam meneruskan agenda nasional masyarakat Malaysia Madani yang cintakan keamanan.

Manakala menurut Profesor Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina, kerjasama strategik UMP dan RTM ini merupakan sebahagian daripada usaha UMP untuk mempergiatkan agenda pembangunan kelestarian bagi menyokong Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals (SDG).
 

Sukarelawan UMP Kilau sertai inisiatif program tanam 1,000 pokok Rhu

“Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini diadakan seiring sasaran Kempen Penghijauan Negara menjelang tahun 2025 dan UMP sentiasa aktif dan menyokong kempen penanaman 100 juta pokok,” ujar beliau.

Sebanyak 1,000 batang pokok rhu pantai (Casuarina equisetifolia) berjaya ditanam dengan turut mendapat penglibatan anak-anak dari Tadika Tunas Cahaya Iman dan pelajar Kolej Poly-Tech MARA Kuantan.

Selain itu, sukarelawan Kilau UMP turut terlibat dalam acara rewang dengan kerjasama Adabi dan Dapur Infaq bagi menyediakan juadah di Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah untuk diagihkan kepada golongan gelandangan dan mereka yang memerlukan sekitar Kuantan.

Disediakan oleh: Siti Nurfarmy Ibrahim, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri

Reports by:
Siti Nurfarmy binti Ibrahim