Skip to main content

Ts. Dr. Lee Khai Loon cipta sistem pengurusan chalet berasaskan reka bentuk khas untuk industri perhotelan

GAMBANG, 10 Mei 2021 - Penyelidik dan pensyarah Fakulti Pengurusan Industri (FPI), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Ts. Dr. Lee Khai Loon, 34, telah mencipta produk penyelidikan iaitu ChaMs. 

Menurut anak kelahiran Pulau Pinang ini, ChaMS adalah sistem pengurusan chalet berasaskan reka bentuk khas untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam industri perhotelan. 

“Ia adalah perisian yang mudah digunakan dan melibatkan kos yang rendah serta berpatutan untuk PKS. 

“Selain itu, ia juga mesra pengguna dan hanya memerlukan kemahiran komputer yang minimum daripada pengguna. 

“Prototaip ChaMS dihasilkan dengan menggunakan teknik Rapid Application Development (RAD) melalui Microsoft Access,” katanya. 

Tambah beliau lagi, ChaMS dapat meningkatkan ketepatan dan kecekapan data malahan mampu mempercepatkan masa pemprosesan.

“Dalam masa yang sama ia turut meningkatkan prestasi operasi dan kepuasan pelanggan secara keseluruhan berbanding dengan kaedah konvensional dalam memproses dan mengurus data. 

“Penyelidikan ini dimulakan pada September 2019 dan disiapkan dalam masa setahun untuk trial run.

“Idea untuk menghasilkan kajian ini adalah berdasarkan pengalaman saya ketika menginap di beberapa chalet dan hotel yang kecil serta sederhana,” katanya. 
Kajian beliau itu dijalankan bersama pelajar tahun akhir FPI, Lim Xue Ting.

Jelasnya lagi, ChaMS mengautomasikan proses pengurusan data pelanggan iaitu termasuklah pengurusan tempahan, pendaftaran, pembayaran, mencetak invois, dan menghasilkan laporan transaksi.

“Reka bentuk ChaMS semasa memberi tumpuan kepada pengurusan dalaman. 

“Oleh itu, langkah seterusnya adalah menggabungkan fungsi laman sesawang untuk membolehkan interaksi langsung dengan pelanggan.

“ChaMS menawarkan harga tawaran RM500 sekali beli dan dibuat berdasarkan keperluan pengguna,” katanya.

Penyelidikan ini pernah mendapat mendapat pingat emas dalam pameran Citrex 2020 dan   ITEX 2020.
 

Disediakan Oleh: Hafizatulazlin Abdul Aziz dan Nur Hartini Mohd Hatta, Penerbit UMP

Reports by:
Hafizatulazlin binti Abdul Aziz