Skip to main content

UMP-Alcon jalin kerjasama bangunkan inovasi kanta lengkap

Johor Bahru, 26 Mac – Universiti Malaysia Pahang (UMP) memetrai perjanjian korporat bersama CIBA Vision Johor Sdn. Bhd yang dikenali sebagai Alcon membabitkan aktiviti pembangunan penyelidikan (R&D), penempatan latihan industri serta program pertukaran staf dan pelajar universiti.

Alcon mengeluarkan pelbagai jenis kanta lekap Air Optix yang terkenal di dunia. Ianya merupakan syarikat pelopor terhadap penjagaan mata yang menawarkan portfolio produk yang luas dalam meningkatkan penglihatan yang dapat mengubah kehidupan ramai. Lebih 285 juta orang setiap tahun hidup dalam keadaan mata yang menghidapi katarak, glaukoma, penyakit retina dan kerosakan refraktif. Malahan ramai lagi yang masih menunggu solusi yang dapat memenuhi keperluan terhadap penjagaan mata. 

Kerjasama ini bakal memberi peluang penempatan latihan industri dan pertukaran staf akademik dan pelajar UMP dalam meningkatkan kemahiran dan kecekapan serta berkongsi kepakaran dalam pembangunan penyelidikan (R&D) khususnya bagi mengenalpasti potensi pemesinan laser untuk fabrikasi alat acuan kanta sentuh berbanding pemesinan konvensional.

Majlis menyaksikan Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Profesor Dr. Jamil Ismail dan Pengurus Besar Alcon Johor, Dr. James Jeyadeva Govindasamy menandatangani perjanjian dalam majlis yang berlangsung di Alcon di Pelabuhan Tanjung Pelepas Johor. Turut hadir Pengarah Bahagian Hubungan Industri Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Profesor Dr. Arham Abdullah, Pengarah Jabatan Jaringan Industri dan Masyarakat (ICoN), Prof Madya Ir. Dr. Nurul Hazlina Nordin dan juga Ketua Sumber Manusia Alcon Johor, Tan Bee Hong.

Menurut Profesor Dr. Jamil berkata, perjanjian ini akan menjadi penanda aras dalam hubungan universiti-industri dengan syarikat antarabangsa dalam skop penghasilan kanta lekap berteknologi tinggi.

“Kedua-dua belah pihak telah bersetuju untuk bekerjasama dalam projek penyelidikan dan pembangunan modal insan selama tiga tahun melalui memorandum perjanjian ini. Ianya merangkumi latihan industri bagi pelajar di samping meneroka lain-lain peluang,” katanya.

Dalam pada itu, pensyarah UMP, Dr. Siti Rabiatul Aisha Idris dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) berjaya menamatkan program sangkutan industri  di bawah penyeliaan Dr. James sebagai mentor menerusi program CEO@Faculty (AIExChange) kendalian KPM selama enam bulan di Alcon Johor. Turut berlangsung pameran pendidikan yang memberi peluang staf di sini meningkatkan kemahiran dan kerjaya dalam bidang masing-masing.   

Reports by:
Siti Nur Azwin binti Zulkapri