Skip to main content

UMP bakal tuan rumah Kejohanan Golf Universiti Awam Edisi 2022

SHAH ALAM, 8 Disember 2021 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) bakal dipilih menjadi tuan rumah bagi Kejohanan Golf Antara Universiti Awam Malaysia Edisi Ke- 49 menjelang Sambutan Ulang Tahun UMP Ke-20 pada tahun hadapan.

Pengumumunan dibuat oleh Kapten-kapten Golf Universiti Awam pada Kejohanan Golf Antara Universiti Awam Malaysia Ke-48 yang menyaksikan Universiti Teknologi MARA (UiTM) selaku tuan rumah.

Program pada kali ini berlangsung di tiga lapangan Golf di sekitar Shah Alam. Kota Permai Golf and Country Club, Glenmarie Golf & Country Club dan Kelab Golf Sultan Abdul Aziz Shah Golf & Country Club pada 7 hingga 8 Disember 2021.

Seramai 296 orang pemain golf daripada universiti awam (UA) terlibat dan UMP disertai seramai sepuluh orang pemain yang diketuai oleh Pro-Canselor UMP, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Abi Musa Asaari Mohamed Nor dan Ketua Pegawai Kewangan/Bendahari UMP, Zainudin Othman mengambil bahagian dalam Kategori VVIP. 

Manakala empat orang pemain menyertai kategori Gross dan empat orang pemain bagi kategori Nett.

Menurut Pengarah Pusat Sukan dan Kebudayaan UMP, Profesor Dato’ Dr. Major (K), Ts. Dr. Rosli Abu Bakar, pasukan UMP bagi kategori VVIP tersenarai di tempat ke-11 daripada 48 pemain. 

“Bagi kategori Gross pula UMP berada di tempat ke-12 daripada 52 peserta manakala kategori Nett pasukan UMP tempat ke-10 daripada 116 pemain.

“Universiti itu turut berbangga apabila diberikan penghormatan dan kepercayaan menjadi tuan rumah pertandingan berprestij ini pada tahun hadapan,” katanya. 

Beliau berharap kejohanan golf seperti ini perlu diteruskan pada masa akan datang bagi memperkukuhkan lagi hubungan erat semua pemain golf dalam kalangan staf UA di negara ini.

Kejohanan menyaksikan pasukan Universiti Teknologi MARA (UiTM) muncul juara kejohanan diikuti Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai naib juara manakala Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berada di tempat ketiga.

Disediakan oleh: Mohd Aznorizamin Ismail, Pusat Sukan dan Kebudayaan, UMP. 

Reports by:
Admin UMP News