Skip to main content

UMP diiktiraf hab bidang Automotif TVET

SHAH ALAM, 17 Jun 2022 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima watikah pelantikan TVET Collaboration Hub dalam bidang Automotif melalui Centre for Automotive Engineering UMP yang diiktiraf sebagai hab bidang Automotif sempena Majlis Penutup Minggu TVET Negara 2022 sebagai usaha merealisasikan agenda TVET di negara pada masa ini.

Watikah telah disampaikan Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Pengajian Tinggi, Dato' Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian kepada Naib Canselor UMP, Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie Zainuddin. 

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMP, Profesor Ts. Dr. Kamal Zuhairi Zamli.

Pada masa yang sama, sebanyak 14 institusi menerima watikah pelantikan TVET Collaboration Hub ini dari wilayah-wilayah ekonomi seluruh negara berdasarkan bidang tujahan masing-masing.

Menurut Profesor Dato' Ts. Dr. Yuserrie, UMP akan terus memperkukuhkan peranannya sebagai universiti teknologi dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) sebagai usaha mengangkat agenda pemerkasaan Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara.

“Jalinan kerjasama strategik dimeterai melibatkan Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti (JPKK) dan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia yang (MTUN) disaksikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad baru-baru ini bakal mencorakkan hala tuju TVET negara.

“MTUN terdiri daripada empat universiti iaitu Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). 

“Kolaborasi strategik ini bakal memberikan ruang dan peluang untuk pelajar menikmati pengalaman pembelajaran yang lebih komprehensif melalui kursus-kursus yang ditawarkan dapat meningkatkan pengambilan lepasan politeknik ke UMP dan MTUN lain,” ujarnya.

UMP diiktiraf hab bidang Automotif TVET

Katanya, selain itu, kolaborasi ini juga berupaya menjadi pemangkin untuk mengekalkan kelestarian bidang TVET pada masa hadapan, di samping memastikan kesinambungan laluan akademik pelajar politeknik dan kolej komuniti selepas mereka tamat pengajian sehingga ke peringkat tertinggi.

“Terdapat dua elemen utama yang membezakan TVET aras tinggi ialah High Technology High Value (HTHV) dan MQF tahap 6 dan ke atas bagi program TVET. Malahan elemen ini juga perlu diterapkan oleh semua MTUN dalam kurikulum di universiti.

“Mencapai dua dekad penubuhan, UMP menawarkan pelbagai program teknikal berteraskan kejuruteraan dan teknologi serta program akademik beridentitikan teknikal dengan kurikulum diterajui industri yang memenuhi keperluan utama negara.

“Selain itu, pengumuman Perdana Menteri Malaysia, YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tentang dermasiswa bagi golongan B40 untuk memilih program TVET semasa Majlis Perasmian Minggu Pendidikan Teknikal dan latihan Vokasional (TVET) di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz minggu lalu adalah suntikan semangat yang boleh meningkatkan lagi enrolmen pelajar TVET pada masa ini,” katanya. 

Kini katanya, pelajar yang memilih aliran TVET mempunyai satu lagi dana melalui dermasiswa ini. 

“Pelajar juga sudah mula memahami walau apa pun aliran asalkan peringkat ijazah, status mereka adalah sama. 

“Malah, aliran TVET juga mulai diyakini lebih mudah untuk mendapat pekerjaan,” ujarnya. 

Pada majlis yang sama, YAB Datuk Seri Ismail Sabri juga mahu melihat sekurang-kurangnya 55 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian dalam program TVET menjelang 2025 seperti yang ditetapkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). 

Justeru, menurut Profesor Dato’ Ts Dr Yuserrie, untuk mencapai 55 peratus lepasan SPM ke aliran TVET ini dilihat tidaklah begitu sukar memandangkan pelajar lepasan SPM yang memasuki jaringan universiti teknikal Malaysia (MTUN) dalam jurusan diploma kejuruteraan atau teknologi kejuruteraan adalah dalam program TVET.

“Malahan program Diploma Kejuruteraan/Teknologi Kejuruteraan di MTUN termasuk UMP adalah di bawah pengiktirafan badan profesional sama ada ETAC di bawah BEM atau TTAC di bawah MBOT. 

“Kedua-dua badan ini sedang mengartikulasikan standard program mereka dengan standard program TVET iaitu COPTPA yang merupakan Kod Amalan Akreditasi Program TVET di dalam Sistem Jaminan Kualiti Tunggal Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional. 

“UMP akan mengambil pelbagai inisiatif untuk memastikan ambilan Diploma Kejuruteraan dipertingkatkan,” ujarnya. 

Katanya, graduan diploma ini sekaligus menjadi feeder kepada program TVET aras tinggi di UMP. 

“Dengan adanya Dermasiswa B40 TVET ini, pastinya akan menjadi pencetus kepada peningkatan kemasukan ke aliran TVET negara,” ujarnya. 

Sehingga kini, UMP menawarkan 15 program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan, enam program Sarjana Muda Teknologi dan lima program Diploma Kejuruteraan/Teknologi Kejuruteraan.

Disediakan oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit