Skip to main content

UMP diiktiraf penganjur derma darah paling aktif

KUANTAN, 14 Jun 2022 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) menerima anugerah Penganjur Paling Aktif 2021 sempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia peringkat negeri Pahang baru-baru ini. 

Program anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Pahang itu telah diadakan di Dewan Majlis Bandaraya Kuantan.

Majlis penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Pahang (Perubatan), Dr. Wan Abd Rahim Wan Muhammad kepada wakil UMP, Fazliza Pekri yang merupakan Jururawat UMP dengan membawa pulang sijil dan cenderahati.

Pengarah Pusat Kesihatan UMP, Dr. Khairul Salleh Abdul Basit bersyukur dan berterima kasih dengan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang atas penganugerahan ini.

“Dengan pengiktirafan ini akan memberi dorongan kepada warga UMP untuk terus memberi sokongan dalam menjayakan Program Derma Darah di UMP.

“Walaupun berdepan dengan kesan pandemik COVID-19, sepanjang tahun lalu, UMP melalui Pusat Kesihatan Universiti (PKU) telah menganjurkan empat kali program Derma Darah melibatkan lebih 500 penyertaan di kedua-dua buah kampus.

“Namun hanya 400 penderma yang terdiri dari staf, pelajar dan petugas pembersihan UMP yang berjaya menderma manakala penyertaan selebihnya gagal menderma kerana masalah kesihatan dan tidak memenuhi syarat menderma darah,” katanya.

Beliau mengharapkan warga UMP akan terus memberi sokongan dalam menderma darah kerana ia bukan sahaja amal jariah malah dapat menyelamatkan nyawa insan lain yang memerlukan.

Disediakan Oleh: Nor Salwana Mohammad Idris, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canseleri 

TAGS / KEYWORDS
Reports by:
Nor Salwana bt Hj Mohammad Idris