Skip to main content

UMP fokus terhadap peningkatan kualiti pendidikan tinggi

PEKAN,  27 November 2020 - Universiti Malaysia Pahang (UMP) akan terus memperkukuhkan lagi usaha dalam memajukan dan mengembangkan pendidikan tinggi dengan memberi tumpuan terhadap bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) aras tinggi.

Pelbagai usaha sedang dibangunkan bagi memfokuskan terhadap peningkatan keupayaan teknikal negara antaranya ialah melalui penawaran program akademik yang dipacu oleh industri bagi melahirkan graduan yang holistik. 

Menurut Naib Canselor UMP, Profesor Ir. Dr. Wan Azhar Wan Yusoff, tumpuan juga diberikan kepada jalinan kerjasama antara UMP dan industri dalam dan luar negara bagi meningkatkan lagi keupayaan teknikal kedua-dua pihak.

“Bagi mencapai hasrat ini, universiti telah merangka Pelan Strategik UMP 2021-2025 dengan memfokuskan elemen penerokaan pengetahuan baharu melalui aktiviti penyelidikan dan inovasi, pengantarabangsaan dan keusahawanan graduan dalam bidang berkaitan bagi meningkatkan kualiti pendidikan di peringkat global.

“Turut diberi perhatian elemen kelestarian kewangan universiti dan pemantapan kecemerlangan ekosistem universiti termasuklah usaha ke arah menjadikan UMP kampus pintar dan lestari yang bakal memanfaatkan lebih 12,000 pelajar universiti ini. 

“Semoga usaha berterusan ini akan terus menjadikan UMP sebagai antara universiti muda yang dapat memainkan peranan penting dalam meningkatkan keupayaan teknikal negara,” ujarnya. 

Kedudukan UMP berada di tangga ke-133 terbaik di Asia dalam penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings: Asia 2021 yang diumumkan oleh agensi penarafan antarabangsa QS Quacquarelli Symonds baru–baru ini merupakan pengiktirafan terhadap peranan dan usaha UMP dalam membangun dan memperkasakan kualiti pendidikan modal insan di peringkat negara serta antarabangsa.

Pencapaian ini telah menyenaraikan UMP berada di kedudukan 21 peratus universiti terbaik di Asia dan berada pada kedudukan kesembilan antara Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Malaysia. 

Disediakan Oleh: Mimi Rabita Abdul Wahit, Unit Komunikasi Korporat, Pejabat Naib Canselor 

Reports by:
Mimi Rabita binti Abd Wahit